Peto Galim menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar cemerlang STPM 2023 sambil diperhatikan oleh Nurani Fauziah Derin (dua kanan) di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, hari ini.
KOTA KINABALU: Hanya seorang calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 tidak layak menerima sijil.
Daripada 7,982 calon yang hadir, 99.99 peratus atau 7,981 calon layak dianugerahkan Sijil STPM kerana memperoleh lulus sebahagian sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran.
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Nurani Fauziah Derin berkata, Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) bagi SPTM kali ini meningkat kepada 2.84 peratus berbanding 2.82 peratus pada tahun lalu.
Beliau berkata, peratusan calon lulus penuh dalam lima mata pelajaran pada peperiksaan STPM 2023 adalah 4.84 peratus berbanding 4.63 peratus pada tahun lalu, iaitu peningkatan 0.21 peratus.
Sementara itu, peratusan calon lulus penuh dalam empat mata pelajaran pula adalah 70.21 peratus berbanding 68.59 peratus pada tahun lalu.
Katanya, daripada 8,289 calon yang mendaftar, sebanyak 7,982 calon hadir menduduki peperiksaan STPM dan 79.41 peratus atau 6,582 calon adalah daripada kategori B40.
“Sebanyak 130 calon atau 1.56 peratus mendapat PNGK 4.00 dan ia menunjukkan peningkatan berbanding 75 calon pada STPM 2022.
“Secara keseluruhan, peratusan calon STPM 2023 yang memperoleh PNGK 3.75 adalah seramai 459 calon; PNGK 3.00 dan ke atas seramai 2,705 calon; PNGK 2.75 ke atas adalah 1,113 calon dan PNGK 2.00 dan ke atas adalah 2,720 calon,” katanya semasa pengumuman keputusan STPM 2023 negeri Sabah di Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, hari ini.
Nurani berkata, tujuh calon memperoleh 5A dalam kelima-lima mata pelajaran yang diambil berbanding hanya tiga calon pada STPM 2022. Bilangan calon yang memperoleh 4A pula meningkat kepada 123 orang berbanding 72 calon pada tahun sebelumnya.
Katanya, daripada 72 calon yang memperoleh keputusan 4A, 97 orang adalah calon daripada kategori B40.
Secara keseluruhan sebanyak 13 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menunjukkan pencapaian melepasi PNGK negeri 2.76 iaitu PPD Kunak, Penampang, Sipitang, Papar, Tuaran, Tawau, Semporna, Kota Kinabalu, Beaufort, Lahad Datu, Beluran, Sandakan dan Kuala Penyu.


































