Tangkap layar video tular mengenai murid mengalami keracunan makanan yang menerima rawatan di Kota Kinabalu semalam.
KOTA KINABALU: Pengarah Pendidikan Negeri, Datuk Raisin Saidin mengesahkan terdapat 91 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya mengalami keracunan makanan semalam.
Insiden itu dikesan kira-kira pukul 12 tengah hari apabila terdapat murid yang mengalami muntah-muntah dan beberapa simptom lain.
Menurut Utusan Malaysia, beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, terdapat lebih daripada 20 orang murid yang terlibat dalam kes keracunan makanan.
“Pihak sekolah kemudiannya membawa beberapa orang murid yang terlibat ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak di Likas. Malah, terdapat juga murid yang mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 dan Klinik Kesihatan Luyang.
“Status kesihatan murid pada tahap dua dan dalam pemantauan pihak hospital. Setakat ini, tiada kes pada tahap kritikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, 90 peratus murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan manakala, 10 lagi dibenarkan pulang ke rumah.
Raisin berkata, pihak sekolah bertindak memberhentikan perkhidmatan kantin dan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta merta buat sementara waktu.
Kata beliau, pihak sekolah juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar membawa anak jagaan masing-masing untuk mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran sekiranya terdapat simptom keracunan makanan.
Mengulas lanjut katanya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kawasan untuk untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada hari ini.