Anwar Ibrahim menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bagi membincangkan beberapa perkara yang melibatkan kepentingan bersama antara Malaysia dan Brunei.
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini berpeluang menghadap Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim di Istana Negara.
Menurut Utusan Malaysia, dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri sempat membincangkan beberapa perkara yang melibatkan kepentingan bersama antara Malaysia dan Brunei.
“Alhamdulillah Paduka Seri Baginda Sultan dan saya berpeluang menilai kemajuan kerjasama yang sedang giat berlangsung antara Malaysia dan Brunei Darussalam selain membincangkan beberapa perkara yang menjadi kepentingan bersama.
“Kami juga membincangkan persediaan untuk Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25 yang akan diadakan pada bulan depan di Bandar Seri Begawan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Anwar turut mendoakan hubungan dua hala kedua-dua negara terus diperkukuh demi manfaat bersama.


































