Mayat mangsa maut dibaham buaya ditemukan di Kampung Sobak Perpaduan, Kinabatangan hari ini. – Ihsan Bomba
KINABATANGAN: Mayat lelaki yang dilaporkan hilang dibaham buaya semasa keluar memukat bersama anaknya empat hari lalu ditemukan di sungai berhampiran Kampung Sobak Perpaduan, di sini hari ini.
Mayat mangsa dikenali sebagai Kami Antong, 35, ditemukan kira-kira pukul 10.15 pagi dalam keadaan separuh anggota badan hilang akibat dibaham buaya.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, mangsa dilaporkan keluar memukat bersama anak lelakinya berusia 10 tahun pada Selasa.
Berdasarkan maklumat awal, mangsa melakukan aktiviti memukat bersama anaknya pada pukul 4 petang selepas selesai memotong buah sawit.
“Mangsa dilaporkan hilang dikhuatiri dibaham buaya manakala, anaknya dilaporkan selamat.
“Pasukan bomba mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Rabu disebabkan cuaca hujan malam sebelumnya. Operasi SAR hari keempat diteruskan pada pukul 8 pagi tadi.
“Kemudian mayat mangsa ditemukan oleh pasukan bomba pada jarak 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dalam keadaan anggota badan tidak sempurna akibat dibaham buaya.
“Hanya bahagian kepala, tangan kanan dan tulang pinggang mangsa sahaja ditemukan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke kawasan kampung dan diserahkan kepada waris keluarga dan operasi SAR ditamatkan pada pukul 1.04 petang.


































