Dr. Joachim (düdük, tengah), Dr. Jamili (duduk, empat dari kiri), bergambar bersama dengan Ketua-ketua Adat yang menghadiri Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-ketua Adat Cemerlang Siri 5 Tahun 2024 bagi Daerah Ranau di Dewan Masyarakat Ranau, hari ini.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam mahu setiap Mahkamah Anak Negeri (MAN) melakukan transformasi kepimpinan dalam membudayakan sikap profesionalisme.
Beliau berkata, sikap profesionalisme yang tinggi harus dititikberatkan agar dapat memberikan gambaran kepada orang awam betapa warga kerja seperti ketua-ketua adat mempunyai nilai komitmen dan dedikasi yang tinggi dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Katanya, sikap profesionalisme akan dapat meningkatkan keyakinan dan persepsi orang awam terhadap kualiti sistem penyampaian perkhidmatan MAN secara amnya dan dapat mencapai matlamat Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) dalam memartabatkan adat warisan, memelihara hak-hak Anak Negeri dalam memastikan Undang-undang Adat Anak Negeri sentiasa dipatuhi dan dihormati.
“Transformasi kepimpinan memerlukan tekad, komitmen dan usaha yang berterusan dari semua pihak yang berkaitan,” katanya semasa merasmikan penutupan Kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-ketua Adat Cemerlang Siri 5 Tahun 2024 bagi Daerah Ranau di Dewan Masyarakat Ranau, di sini, hari ini.

Dr. Joachim (tiga dari kanan) menyampaikan sıjil penghargaan bagi penyertaan dari Ketua Adat darı DUN N.37 Karanaan sambil disaksikan oleh Dr. Jamili (dua dari kiri), OKK Dominic (kiri), Majaran (dua dari kanan) dan OKK Muhasip (kanan).
Seramai 203 peserta hadir dalam kursus tersebut yang melibatkan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N.36 Kundasang, N.37 Karanaan dan N.38 Paginatan.
Terdahulu, Dr. Joachim yang juga ADUN Kundasang berkata, KKTP melalui JHEANS mengambil berat akan keperluan ketua-ketua adat dalam memastikan perkhidmatan mereka diperkasakan.
“Sehubungan dengan itu, adalah menjadi harapan saya dan jabatan agar semua peserta yang terlibat pada hari ini dapat mengaplikasikan sebaik mungkin apa yang telah dipelajari selama dua hari ini.
“Saya difahamkan, penceramah-penceramah yang diundang juga dalam kalangan yang pakar untuk menyampaikan topik-topik berkaitan selaras dengan objektif program kursus ini. Saya yakin apa yang pelajari dan perolehi sepanjang tempoh kursus ini sedikit sebanyak akan dapat membantu dalam menjalankan peranan dan tanggungjawab kelak dengan lebih teratur dan lancar di samping dapat meningkatkan kemahiran diri dan pengetahuan secara amnya,” ujarnya.

Dr. Joachim (tengah) menerima cendera mata daripada Majaran disaksikan oleh Dr. Jamili (dua dari kiri) dan OKK Dominic.
Kursus tersebut dianjurkan untuk memberi pendedahan secara komprehensif mengenai amalan peranan dan tanggungjawab ketua-ketua adat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan di kawasan mereka menjadi lebih efektif.
Di samping itu, ia juga merupakan salah satu kursus wajib yang dilaksanakan oleh JHEANS bagi ketua-ketua adat di MAN Sabah.
Dr. Joachim berkata, melalui kursus sebegini, ketua-ketua adat boleh menyampaikan perkhidmatan sesuai dengan apa yang mereka telah pelajari dan sekaligus dapat mencerminkan imej dan budaya korporat MAN yang cemerlang.
Beliau menyeru kepada ketua-ketua adat agar sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran semasa, inovatif dalam mencari peluang bagi mendedahkan diri kepada perkara-perkara baru, serta agresif dalam mempelajari ilmu untuk mempertingkatkan kecemerlangan diri, contohnya melalui kursus seperti ini.
“Amalan seperti ini hendaklah sentiasa dipraktikkan sehingga menjadi budaya dan turut diikuti oleh rakan-rakan kita di MAN lain,” katanya.

Dr. Joachim (dua dari kanan) menerima cendera mata daripada Tinus sambil di saksikan oleh Elmer (kanan) dan yang lain selepas sesi taklimat Lawatan Kembara Ke Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Ranau.
Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Dr. Jamili Nais; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS), Majaran Osman; Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggan; Ketua -ketua Daerah, OKK Muhasip Haji Ruman dan OKK Domonic Ganie dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat N.36 Kundasang, Dounis Sani.
Selepas itu, Dr. Joachim dengan diiringi Dr. Jamili mendengar taklimat Lawatan Kembara Ke Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Ranau, yang disampaikan oleh Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau, Elmer Endra M. Sator.
































