Julita (lima dari kiri) merakamkan gambar kenangan bersama ahli PBS Bahagian N.42 Melalap yang hadir dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-39 di Pusat Kebudayaan Murut, Pulong, Tenom.
TENOM: Parti Bersatu Sabah (PBS) yakin kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang merupakan kerusi tradisi parti boleh dimenangi semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang dengan kerjasama baik dalam Bersatu-Solidariti (BEST) antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH).
Setiausaha Agung PBS, Datuk Julita Majungki berkata, kerusi DUN Melalap perlu dimenangkan semula untuk menjadi sebahagian daripada suara kerajaan dalam DUN Sabah.
“Kemenangan ini penting agar Sabah boleh mencapai kestabilan politik yang lebih baik demi kesinambungan pentadbiran negeri yang mapan dan terfokus.
“Saya yakin kerusi ini boleh dimenangi menerusi kerjasama baik dalam BEST dan rakan-rakan komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bersama-sama mengimpak semangat pengundi di kawasan Pedalaman.
“STARSABAH dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) masing-masing mewakili DUN berdekatan dengan Melalap
“Soal calon akan dibincang selepas proses perundingan selesai,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-39 PBS Bahagian N.42 Melalap di Pusat Kebudayaan Murut, Pulong, di sini Sabtu lalu (13 Julai).
Julita berkata, PBS mempunyai cawangan aktif di 76 daripada keseluruhan 99 kampung dalam DUN Melalap dan beberapa cawangan baharu akan dibuka berikutan kemasukan ramai ahli baharu ke dalam parti.
Semasa AGM tersebut, PBS Bahagian Melalap menerima sebanyak 1,135 permohonan keahlian termasuk pembukaan sebanyak sembilan (9) cawangan baharu.
Terdahulu, dalam ucapannya, Julita yang juga Pembantu Menteri Kewangan Sabah menyeru semua ahli-ahli parti untuk terus menghayati dan menghargai perjuangan PBS yang merupakan sebuah parti tempatan yang mempunyai sejarah perjuangan tersendiri dalam membawa kebangkitan rakyat Sabah untuk menuntut serta melindungi hak-hak negeri.
“PBSlah yang telah menanam benih semangat kecintaan kepada negeri Sabah serta memulakan usaha tuntutan ke atas hak-hak negeri ,” katanya.
Beliau turut meminta mereka agar menghormati dan menghargai kepimpinan parti yang sederhana (moderate), berintegriti, telus dan ikhlas berjuang.
“Belum ada pemimpin parti yang diheret ke muka pengadilan atas sebab salah laku jenayah, menunjukkan para pemimpin parti sangat berintegriti, telus dan ikhlas dalam perjuangan,” ujarnya.
Julita juga mahu usaha mementorkan pemimpin muda dipertingkatkan untuk meneruskan legasi kepimpinan dan perjuangan politik yang baik daripada para pengasas seperti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan pemimpin terdahulu.
































