PUTRAJAYA: Seorang lelaki berkelulusan pendidikan awal kanak-kanak, kekal dipenjara 10 tahun dan dikenakan 12 sebatan terhadap empat kesalahan meminta bahan pornografi daripada seorang murid perempuan berusia 12 tahun melalui aplikasi WhatsApp.
Menurut Utusan Malaysia, Hendra Mulana, 33, mengaku menjalin hubungan `cinta’ terlarang secara maya dengan mangsa yang dikenalinya melalui laman sosial `Bigo’, lima tahun lalu, namun mereka tidak pernah bersemuka sepanjang perkenalan itu.
Hendra yang dirujuk oleh mangsa sebagai `Secret Love’ kerap memujuk kanak-kanak itu berbual secara intim sehingga ke tahap bertukar-tukar gambar dan video lucah melalui WhatsApp.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan itu selepas menolak rayuan akhir lelaki berkenaan.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Datuk S. M. Komathy Suppiah mengekalkan sabitan dan hukuman yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi Taiping, Perak.
Koram berkenaan berpuas hati, dakwaan Hendra bahawa mereka pasangan kekasih dan berhasrat mengahwini mangsa, tidak boleh dipercayai kerana tiada tindakan proaktif diambilnya untuk bertemu keluarga gadis itu bagi membincangkan niatnya.
“Perayu tidak berniat mengahwini mangsa kerana sejak dari awal dia mengetahui mangsa seorang kanak-kanak dan hanya mengambil kesempatan terhadapnya.
“Kami bersetuju dengan dapatan Mahkamah Sesyen dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi bahawa sesiapapun boleh menyedari mangsa masih kanak-kanak berdasarkan gambar profil WhatsAppnya.
“Perayu malah tidak mengambil sebarang usaha untuk bertemu mangsa bagi memastikan umur sebenarnya,” demikian menurut penghakiman bertulis Hakim Azmi bertarikh 1 Julai lalu yang diperolehi oleh pihak media melalui laman web mahkamah, kelmarin
Pada 2 November 2023, Mahkamah Tinggi Taiping mengurangkannya daripada 13 tahun bagi setiap pertuduhan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Taiping. Hukuman berkuat kuasa serentak.
Pesuruhjaya Kehakiman Noor Ruwena Md. Nurdin turut mengarahkan lelaki itu menjalani sesi kaunseling di penjara dan pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai menjalani hukuman.
Hendra (perayu) disabitkan atas keempat-empat pertuduhan pindaan meminta bahan pornografi daripada kanak-kanak tersebut yang ketika itu berusia di bawah 18 tahun pada waktu-waktu tertentu antara lewat malam dan awal pagi di antara 14 Oktober dan 17 Oktober 2019 di sebuah rumah di Changkat Jering.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan maksimum 15 tahun dan sebatan minimum sebanyak tiga kali.




























