Hannah Yeoh
KAJANG: Keselamatan atlet negara dan kesemua petugas kontinjen Malaysia sempena Olimpik Paris 2024 dijamin tidak akan terjejas meskipun berlaku pergolakan politik di negara berkenaan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, keselamatan atlet dan semua petugas di temasya sukan terbesar dunia itu sentiasa menjadi keutamaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bekerjasama rapat dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Kata beliau, pihaknya akan menerima maklumat daripada MOM kerana mereka mempunyai informasi daripada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
“Keselamatan atlet dan kontinjen termasuk staf sokongan yang pergi ke Paris, itu adalah keutamaan kepada kita.
“Kita kena tunggu (situasi)… kita ada buat persiapan tetapi setakat ini, memang kita difahamkan semuanya sudah diberikan taklimat (keselamatan),” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra bersama peserta Projek Reben Kuning 2024 di Penjara Wanita Kajang, di sini kelmarin.
Terdahulu, media melaporkan, kontinjen negara sudah menerima jaminan keselamatan daripada pihak keselamatan Perancis.
Ketua kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin dilapor berkata, beliau mendapatkan jaminan bahawa pihak keselamatan negara itu akan bekerjasama dengan Malaysia bagi memastikan atlet serta pegawai berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kejadian tidak diingini.