Masidi Manjun
KOTA KINABALU: Sebanyak RM8.0 bilion pinjaman telah diluluskan oleh Sabah Development Bank Berhad (SDBank) kepada syarikat-syarikat dari Semenanjung Malaysia untuk tempoh bermula tahun 2003 sehingga 2018 dengan 95 peratus dalam sektor pembangunan hartanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata bagaimanapun, nama pemilik syarikat-syarikat tersebut tidak dapat didedahkan bagi memelihara tanggungjawab kerahsiaan di antara SDBank dengan pelanggan yang juga selaras dengan Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) 2013.
Memandangkan apa yang telah berlaku ke atas SDBank mendapat perhatian utama, beliau berkata, sudah tiba masanya untuk beliau menjelaskan situasi sebenar yang telah berlaku mengenai SDBank.
“Akibat daripada isu yang diwarisi, SDBank akan mengumumkan kerugian yang belum pernah berlaku sebelum ini untuk tahun kewangan 2023 dan kemungkinan tahun 2024 selaras dengan amalan terbaik dan standard (piawaian) perakaunan.
“Apa yang berlaku? Selepas bertahun-tahun melaporkan keuntungan, dalam lingkungan RM580 juta untuk enam tahun kebelakangan, SDBank akan melaporkan kerugian kewangan yang besar bagi tahun 2023 dan 2024.
“Bukan sahaja kerugian kewangan, tetapi juga kualiti aset pinjaman sedia ada adalah teruk: daripada portfolio pinjaman sebanyak RM6.6 bilion pada akhir Mei 2024, 75 peratus atau RM5 bilion adalah pinjaman tidak berbayar (NPL).
“Kerugian kewangan sebelum ini pada dasarnya disebabkan oleh perkara-perkara berikut iaitu perakaunan kreatif, penyediaan peruntukan tidak mencukupi (under-provision) dan kemerosotan tadbir urus,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) yang bertanya daripada 19 akaun tidak berbayar berjumlah RM3.1 bilion yang diberikan Sabah Development Bank (SDB) kepada peminjam daripada Semenanjung Malaysia sejak 2001, berapakah jumlah pinjaman yang telah diluluskan bagi tempoh 2003 hingga 2018, jenis perniagaan yang terlibat dan nama pemilik syarikat serta negeri yang terlibat.
PERAKAUNAN KREATIF
Masidi menjelaskan, SDBank telah memberi pinjaman kepada peminjam, dan apabila peminjam tidak dapat membayar balik, maka perakaunan kreatif telah digunakan.
Katanya, pinjaman baharu telah diwujudkan untuk membayar balik pinjaman tertunggak supaya pinjaman ini tidak dikategorikan sebagai tidak berbayar.
“Ini pada asasnya seperti menggali lubang yang lebih besar untuk menutup lubang yang lama! Dalam erti kata lain hutang-hutang ini semakin membesar.
“Apabila pinjaman baharu diwujudkan untuk membayar balik tunggakan prinsipal (pokok) dan faedah tertunggak daripada peminjam, dalam penyata menunjukkan bahawa jumlah prinsipal yang tertunggak berstatus “dibayar balik” dan “kutipan” telah direkodkan. Termasuk faedah tertunggak juga direkodkan menjadi “pendapatan yang diperolehi”. Jumlah NPL berkurangan kerana pinjaman dicatatkan “berprestasi”.
“Akibatnya, selama bertahun-tahun sebelum ini SDBank telah menunjukkan catatan kewangan yang baik namun sebenarnya kutipan “tanpa tunai”, hasil faedah yang melambung dan peratusan NPL tersembunyi.
“SDBank memperolehi dana dengan meminjam daripada pasaran bon. Pelaksanaan perakaunan kreatif atau pemulihan tanpa kutipan tunai sebenar ini menggambarkan kedudukan kewangan yang mana kutipan tunai tersebut oleh SDBank tidak mencukupi untuk membayar bon yang matang. Maka SDBank terpaksa menambah pinjaman untuk membiayai hutang yang melambung tinggi.
PENYEDIAAN PERUNTUKAN YANG TIDAK MENCUKUPI (UNDER-PROVISION)
Masidi berkata, kedudukan kewangan yang kritikal ini juga berpunca daripada penyediaan peruntukan di bawah tahap yang sangat rendah selama bertahun-tahun.
Katanya, mengikut amalan institusi perbankan, penyediaan peruntukan perlu dilaksanakan setiap tahun bagi segala pinjaman yang mana jumlah peruntukan tersebut bergantung kepada nilai aset yang diambil sebagai jaminan untuk pinjaman tersebut.
“SDBank tidak melaksanakan amalan tadbir urus yang baik dalam mengemas kini laporan penilaian bagi jaminan ini setiap dua tahun. Kini, Lembaga Pengarah dan pengurusan baharu telah melaksanakan kajian yang menyeluruh ke atas jaminan aset-aset ini dan mendapati laporan berkenaan adalah lapuk yang mana sehingga memerlukan penyediaan peruntukan yang besar bagi tahun 2023 dan 2024.”
KEMEROSOTAN TADBIR URUS (MELTDOWN)
Menteri berkata, di dalam pasaran perbankan, SDBank digelar sebagai sebuah ‘bank pilihan terakhir’, kerana mereka menerima permohonan-permohonan pinjaman yang ditolak oleh bank yang lain.
Dengan tindakan ini SDBank berhadapan dengan 75 peratus NPL, kata Masidi.
“Namun, tiada tindakan perundangan diambil bagi menuntut hutang-hutang NPL ini, malahan perakaunan kreatif telah digunakan untuk mengaburi NPL ini sebagai pinjaman yang berbayar.
“Ia menjadikan “satu mimpi ngeri” dari segi pengawasan tadbir urus yang lemah, kawalan dan imbangan dalaman, pengawalan kredit dan pengurusan risiko yang tidak berkesan.”
TINDAKAN DIAMBIL OLEH LEMBAGA BAHARU APABILA MENGAMBIL ALIH PADA JULAI 2023
Masidi berkata, apabila Lembaga Pengarah baharu mengambil alih pada bulan Julai 2023, SDBank berada dalam kedudukan kewangan yang sangat kritikal.
Katanya, jumlah sebenar NPL adalah sangat tinggi, yang mengakibatkan pembiayaan terbatas untuk memenuhi obligasi bon yang matang, dan tindakan pemulihan pula sangat lemah serta perlahan.
Beliau berkata, sehubungan itu, kumpulan Lembaga Pengarah dan Pengurusan baharu ini telah mengambil tindakan yang drastik seperti berikut:-
a) Membuat semakan menyeluruh yang ketat terhadap operasi Bank. Amalan industri dan garis panduan Bank Negara Malaysia telah diterima pakai, dan dasar serta prosedur operasi standard (SOP) dipertingkatkan.
b) Memperbetulkan NPL dengan mengklasifikasikan semula pinjaman. NPL pada Julai 2023 adalah 47 peratus, manakala pada akhir Mei 2024, ia meningkat kepada 75 peratus.
c) Terkini Bahagian Syarikat Pengurusan Aset (AMC) telah ditubuhkan yang diketuai oleh pakar yang berkelayakan untuk memulihkan NPL secara agresif. Pada akhir Jun 2024, kesemua 43 NPL (100 peratus) telah diambil tindakan undang-undang. Lembaga Pengarah baharu telah menetapkan sasaran KPI sebanyak RM1 bilion bagi pemulihan NPL setiap tahun untuk tempoh 3 tahun akan datang dan akan keluar daripada terlibat dalam perniagaan di Semenanjung Malaysia selepas 3 tahun.
d) Dengan sokongan Kerajaan Negeri, Lembaga Pengarah dan Pengurusan dapat menyelesaikan sebahagian besar pinjaman lama GLC, dan dengan pembayaran balik ini, SDBank dapat mengurangkan obligasi pembayaran bonnya. Pada September 2023 pinjaman adalah sebanyak RM5 bilion. Bagaimanapun, pinjaman ini telah berkurang kepada RM3.9 bilion pada hujung Mei 2024. Salah satu pinjaman GLC berprofil tinggi yang diwarisi ialah pinjaman SIP sebanyak RM1.4 bilion kepada SDBank. SMJ Energy Sdn. Bhd. telah mengambil alih SIP dan menerbitkan dana sukuk untuk menyelesaikan hutang SIP sebanyak RM700 juta kepada SDBank yang mana telah memberi penjimatan faedah sebanyak RM60 juta untuk tahun 2024. Pada masa yang sama, ini membolehkan SDBank untuk menyelesaikan bayaran balik bon yang ditanggung dengan penjimatan faedah sebanyak RM35 juta setahun.
Sebenarnya, skim yang hampir sama sebelum ini telah dikenal pasti pada tahun 2019 dan diputuskan pada 13 Januari 2020, yang mana Sabah Development Berhad, iaitu syarikat induk kepada SDBank dan SIP, pada tempoh tersebut telah meluluskan Sukuk sebanyak RM10 bilion dengan tujuan untuk membiayai semula pinjaman SIP dengan SDBank. Walau bagaimanapun, sukuk ini gagal diperolehi disebabkan oleh kebimbangan pasaran tentang tadbir urus yang kurang jelas terutamanya penggunaan dan bayaran balik dana tersebut.
e) Lembaga Pengarah dan Pengurusan merujuk kepada mandat baharu untuk meneruskan projek-projek pembangunan yang memberi manfaat dari segi ekonomi dan sosial serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar di negeri Sabah dan untuk Sabah sahaja. Dalam lima bulan pertama tahun ini, SDBank telah menolak 10 permohonan pinjaman berjumlah RM1.5 bilion yang tidak memenuhi mandat atau ujian kredit bank yang baru. Pinjaman baharu yang diluluskan selama enam bulan pertama tahun ini berjumlah sehingga RM616 juta, dalam sector Minyak & Gas (RM426.5 juta), tenaga (RM96.3 juta), pembinaan (RM62 juta), dan infrastruktur (RM32 juta), 100 peratus di Sabah.
f) Lembaga Pengarah dan Pengurusan yang baharu ini telah melaksanakan tadbir urus yang tegas selaras dengan amalan yang terbaik. Pada April tahun ini, Pengurusan telah membuat laporan kepada pihak SPRM berikutan dakwaan rasuah oleh pengurusan terdahulu.
PROSPEK MASA HADAPAN
Masidi berkata, jawapan kepada soalan adakah semua cabaran/masalah kewangan akan dapat diselesaikan menjelang akhir tahun 2024 adalah tidak.
Katanya, isu yang diwarisi ini akan terus menghantui SDBank dalam jangka masa yang panjang dan memerlukan usaha yang keras untuk memulihkan SDBank.
“Namun saya yakin dengan sokongan padu daripada Kerajaan Negeri, SDBank akan dapat dipulihkan di bawah kepimpinan sekarang dan akan menjadi sebuah bank yang boleh dibanggakan di Sabah.