KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan tidak berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak pada masa ini kerana sebahagian besar mod pengangkutan aktiviti ekonomi, program dan projek pembangunan di kedua-dua negeri itu menggunakan bahan api diesel.
Menurut Utusan Malaysia, Kementerian Kewangan berkata, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia pula adalah langkah fasa pertama bagi memberi ruang kepada syarikat minyak untuk membangun dan melengkapkan kemudahan serta infrastruktur yang diperlukan.
Katanya, ia bagi memastikan syarikat minyak bersedia jika langkah tersebut diperluas ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Pada masa ini kerajaan tidak berhasrat untuk melaksanakan penyasaran subsidi diesel di Sabah dan Sarawak memandangkan sebahagian besar mod pengangkutan untuk menjalankan aktiviti ekonomi serta program dan projek pembangunan di kedua-dua negeri itu menggunakan bahan api diesel.
“Tambahan pula, keadaan geografi di situ mengehadkan kebolehlaksanaan mekanisme ‘fleet card’ yang memerlukan kemudahan dan infrastruktur yang lebih canggih terutamanya di kawasan pedalaman,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat, semalam.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) meminta kerajaan menyatakan rasional pelaksanaan subsidi diesel bersasar hanya dilaksana di Semenanjung Malaysia, tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) yang mahu tahu bagaimana kerajaan dapat menjimatkan kos jika pengguna diesel yang layak menerima Budi Madani sebanyak RM200 sebulan, kementerian berkata, bantuan tunai sebanyak RM200 adalah cukup.
“Ketetapan jumlah bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan adalah hasil kajian mendalam dan perundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pemilik kenderaan, pakar ekonomi serta industri.
“Berdasarkan data daripada Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) 2022 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkaitan perbelanjaan bulanan bahan bakar diesel isi rumah, dianggarkan RM200 adalah jumlah mencukupi untuk menampung kos diesel bulanan tambahan bagi 80 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia,” katanya.






























