KUALA LUMPUR: Lima pempengaruh mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mempromosikan judi dalam talian di platform laman sosial mereka pada Jun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, mereka ialah Aileen Koh Ooi Leng, 29; Hayatunnuffus Zakariya, 32, Nurul Syifa Aliya Adanan, 21, Nurazalina Mustafa, 28, dan Noor Shahnez Marzuani, 22.
Kesemuanya meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin dan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Aileen Koh didakwa mempromosikan judi di tempat awam secara atas talian di sebuah restoran di Sentul di sini sekitar pukul 8.23 pagi pada 13 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 sehingga RM200,000 dan penjara maksimum lima tahun.
Hayatunnuffus dan Noor Shahnez pula didakwa mengumum atau menerbitkan dengan cara mempromosikan platform perjudian di atas talian di akaun Intagram milik mereka untuk mengajak atau memperdaya orang awam berjudi di rumah judi terbuka.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua buah restoran di Bandar Tun Razak dan Taman Maluri di Cheras, pukul 9 dan 9.30 pagi pada tarikh yang sama.
Sementara Nurul Syifa dan Nurazalina didakwa membantu menjalankan promosi perjudian dalam talian menerusi akaun Instagram kendalian mereka, masing-masing menggunakan telefon pintar jenis iPhone 11 Pro Max dan iPhone 13 Pro.
Kedua-dua wanita terlibat didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Unit Pencegahan Perjudian D7, di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di Wangsa Maju, masing-masing pada pukul 7 dan 7.30 pagi pada tarikh yang serupa.
Keempat-empat mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 sehingga RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Nom Phot Prack dan Timbalan Pendakwa Raya Hamizah Hisan.
Mahkamah kemudian membenarkan Hayatunnuffus dan Aileen Koh dijamin RM4,000 manakala Nurul Syifa, Nurazalina dan Noor Shahnez diikat jamin RM5,000.
Semasa prosiding, peguam-peguam terdiri daripada Azlan Abdul Razak, V. Varunnath, Mohd. Rhastdan Abdul Wahab dan A. Krishnaveni serta wakil dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)mewakili tertuduh-tertuduh.
Kedua-dua mahkamah menetapkan 15 Ogos ini bagi sebutan kes.