Felix Zwayer ditugaskan untuk mengadili perlawanan separuh akhir Euro 2024 melibatkan pertembungan Belanda dengan England, awal pagi esok.
DORTMUND: Pengadil Jerman, Felix Zwayer dipilih untuk mengendali perlawanan separuh akhir Euro 2024 di antara England dan Belanda, awal pagi esok dan situasi itu pastinya tidak menyenangkan Jude Bellingham.
Menurut Utusan Malaysia, bintang sensasi England itu pernah didenda 40,000 Euro (RM203,987) kerana mengkritik Zwayer kerana didakwa telah mengatur perlawanan.
Ketika aksi Bundesliga 2021, Bellingham yang bermain untuk Borussia Dortmund merayu untuk mendapatkan sepakan penalti sebelum Bayern Munich turut menjaringkan gol yang sama dan pada akhirnya menyaksikan pasukannya tewas.
“Anda sendiri boleh lihat banyak keputusan yang tidak telus pada permainan itu. Anda beri tanggungjawab kepada pengadil yang pernah mengatur perlawanan sebelum ini dan ianya perlawanan terbesar Jerman. Apa yang anda jangkakan?,” kata Bellingham ketika itu.
Kritikan Bellingham merujuk kepada satu masa yang mana Zwayer terpalit dengan isu kontoversi ini dalam kerjayanya.
Pada 2005 lalu, pengadil Robert Hoyzer turut dijatuhi hukuman penjara dua tahun lima bulan berikutan skandal mengatur perlawanan bola sepak Jerman dan Zwayer yang melaporkan perkara itu turut dihukum.
Zwayer digantung dari bertugas selama enam bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Jerman (DFB) susulan menerima wang 300 Euro (RM1,530) daripada Hoyzer kerana berkomplot ketika menjadi penolong pengadil.
Pengadil berusia 43 tahun itu bagaimanapun, mengambil cuti selepas komen Bellingham itu dan kembali mengadili perlawanan akhir Liga Negara-negara 2023 serta mengendali perlawanan Euro 2024 sebanyak tiga kali.
Bagaimanapun, Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) enggan mengulas perlantikan Zwayer pada aksi England dan Belanda.