(Dari kiri) Chan Yi Wen, Noor Ainaa Amani Ampandi, Aifa dan Aira Azman bakal bertembung sesama sendiri dalam perlawanan akhir pada Kejohanan Skuasy Beregu Asia 2024 di Arena Emas, Skudai, Johor, esok. – Ihsan SRAM
PETALING JAYA: Dua beregu wanita Malaysia menepati status sebagai pilihan pertama dan kedua apabila mereka bakal bertembung sesama sendiri dalam perlawanan akhir Kejohanan Skuasy Beregu Asia 2024 di Arena Emas, Skudai, Johor, hari ini.
Menurut Utusan Malaysia, pada separuh akhir kelmarin, pasangan adik beradik, Aifa Azman-Aira Azman yang merupakan pilihan pertama kejohanan hanya memerlukan masa selama 17 minit untuk membenam pilihan ketiga, Ho Tze Lok-Fung Ching Hei dari Hong Kong 11-8, 11-4.
Dalam satu lagi pertarungan di peringkat sama membabitkan pilihan kedua, Noor Ainaa Amani Ampandi-Chan Yi Wen turut menempah slot final selepas menewaskan pilihan keempat, Toby Tse-Kirstie Wong juga dari Hong Kong 11-1, 11-9 dalam masa 18 minit.
Pertembungan dua pasangan negara dalam perlawanan akhir pada kejohanan yang julung kali dianjurkan itu bakal menyaksikan gelaran beregu wanita sudah pun berada dalam genggaman Malaysia.
Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, Ong Sai Hung-Mohamad Syafiq Kamal yang diletakkan sebagai pilihan kedua menyingkirkan pilihan keempat dari Hong Kong, Lau Tsz Kwan-Chung Yat Long 11-4, 11-8 dalam masa 25 minit pada separuh akhir.
Pada perlawanan akhir, Sai Hung-Syafiq perlu mengharungi laluan getir berdepan pilihan pertama dari India, Abhay Singh-V. Senthilkumar jika berhajat untuk menjulang kejuaraan pertama di laman sendiri.
Namun begitu, dalam aksi beregu campuran kesemua wakil Malaysia gagal menjejakkan kaki ke perlawanan akhir selepas mereka terkandas di suku akhir dan separuh akhir, kelmarin.
Di peringkat lapan terbaik, pilihan keempat, Mohamad Syafiq Kamal-Aira tewas kepada pilihan ketiga, Abhay Singh-Joshana Chinappa dari India 11-9, 11-6 dalam masa 17 minit.
Dalam satu lagi suku akhir yang menemukan dua beregu Malaysia berkesudahan pilihan keenam, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar-Ainaa Amani menumpaskan pilihan kelima, Sai Hung-Rachel Arnold 10-11, 11-10, 11-5 dalam masa 36 minit.
Addeen-Ainaa Amani, bagaimanapun, terkandas di separuh akhir selepas akur kepada gandingan Hong Kong, Tang Ming Hong-Tong Tsz Wing 11-8, 1-11, 10-11 dalam masa 28 minit.
Esok, Addeen-Ainaa Amani masih perlu turun ke gelanggang berdepan wakil Hong Kong, Lai Cheuk Nam-Cheng Nga Ching bagi penentuan tempat ketiga/keempat.
































