Seorang pegawai Maqis Pulau Pinang menunjukkan sate katak yang dirampas di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Bayan Lepas, Pulau Pinang.
GEORGE TOWN : Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang merampas 21 kilogram (kg) sate katak bernilai RM1,500 di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), di sini kelmarin.
Menurut Utusan Malaysia, Jurucakap Maqis Pulau Pinang berkata, sate katak tersebut dirampas di pintu masuk lapangan terbang berkenaan dan dipercayai dibawa dari Myanmar.
Katanya, rampasan itu dilakukan hasil kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) melalui bantuan mesin pengimbas dan pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai Maqis.
“Sate katak seberat 21 kg yang dianggarkan bernilai RM1,500 ini dirampas menerusi pemeriksaan bagasi yang dilakukan terhadap beberapa orang penumpang dari Myanmar.
“Rampasan ini merupakan rampasan terbesar bagi produk hasilan haiwan setakat bulan ini,” katanya di sini, kelmarin.
Menurut jurucakap itu, perbuatan mengimport keluaran hasilan haiwan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.
“Jika sabit kesalahan, mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“Dalam hal ini, pihak Maqis tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit serta risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam sektor pertanian negara,” katanya.
Tambah beliau, kawalan terhadap kemasukan produk-produk hasilan pertanian akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan dan keterjaminan makanan terpelihara.