Pemain tengah Sepanyol, Mikel Merino meraikan kejayaannya menjaringkan gol kemenangan menewaskan Jerman 2-1 dalam aksi suku akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2024.
STUTTGART: Sepanyol mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2024 dengan penuh dramatik selepas Mikel Merino menanduk masuk gol kemenangan menewaskan Jerman 2-1 pada aksi suku akhir kejohanan.
Menurut Utusan Malaysia, perlawanan yang berlangsung di Arena Stuttgart itu menyaksikan Sepanyol terlebih dahulu menembusi gawang lawan pada minit ke-51 menerusi jaringan Dani Olmo selepas menerima bantuan daripada Lamine Yamal.
Tersentak dengan jaringan tersebut, Jerman mula mengatur serangan dan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Florian Wirtz seminit sebelum tamat sekali gus mengheret permainan ke masa tambahan.
Bagaimanapun, pemain gantian, Merino muncul wira Sepanyol apabila membawa pasukannya mara ke separuh akhir kejohanan selepas menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-119 berpunca daripada gerakan Dani Olmo.
Sepanyol akan bertemu Portugal atau Perancis di peringkat separuh akhir pada 10 Julai ini.
































