PETALING JAYA: Kerajaan meneliti kesan penyasaran subsidi diesel sebelum mengambil langkah untuk meneruskan rasionalisasi petrol RON95.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan setakat ini belum ada kertas dasar terhadap pelaksanaan rasionalisasi RON95.
Bagaimanapun, Anwar berkata, tumpuan sekarang adalah menyelesaikan isu-isu berbangkit ekoran pengumuman penyasaran diesel, baru-baru ini.
“Setakat kini belum ada kertas dasar (rasionalisasi RON95) yang boleh kita laksanakan dengan cepat, itu boleh saya beritahu.
“Ada kajian dari dahulu tetapi kita fikir perlulah lihat langkah diambil berkenaan elektrik, ayam, penyasaran diesel. Kita tengok kesannya dahulu dan lihat reaksi rakyat, kemudian baharulah kita bersedia dan berunding apakah keperluan,” katanya dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, menjadi keutamaan kerajaan hari ini menghentikan subsidi kepada orang kaya dan orang asing iaitu yang menjadi satu ketetapan tiada tolak ansur.
“Bagaimana kaedahnya, kita kena fikir agar tidak bebankan rakyat Apakah kemungkinan untuk masa-masa akan datang, saya tidak menolak apa-apa kemungkinan. Yang boleh saya nyatakan sekarang, seluruh fokus kita adalah penyasaran subsidi diesel,” katanya.
Anwar menegaskan, mana-mana kerajaan sekalipun tidak menolak langkah penyasaran dan rasionalisasi subsidi amat penting untuk masa depan negara di samping mahu pelaksanaannya tidak membebankan rakyat.
Bagaimanapun, katanya, ia memerlukan tekad dan iltizam kerajaan kerana tiada pihak sanggup berbuat demikian dan mengatakan tidak bersedia kerana mengetahui kesan suhu politik yang bakal dihangatkan.
“Masa Yang Berhormat dan rakan-rakan di sebelah sini, semua nak buat penyasaran subsidi. Ia disebut semua Perdana Menteri termasuk disokong Yang Berhormat.
“Jadi, jangan bangkit seolah-olah salah dari segi dasar penyasaran subsidi. Sebab itu kita ambil pendekatan lebih tawaduk, ada kelemahan kita perbaiki, perlu suntikan, kita beri suntikan. Kita tidak akan kata kita ini sempurna kerana penyasaran subsidi sukar dilaksanakan.
“Kalau tanya saya, RON95 kita perlu laksanakan lama tetapi tidak mudah sebab masalah 3.8 juta warga asing ambil pakai minyak ini, orang kaya pakai kereta Rolls-Royce pakai minyak ini yang kita beri subsidi.
“Jadi, bagaimana hendak selesaikan bertahun-tahun? Yang Berhormat Kubang Kerian dalam Kabinet pun bincang perkara ini, tetapi menyelesaikan itu sukar, samalah kita hadapi sekarang,” katanya.
































