Sebahagian penumpang bas terdiri daripada warganegara China yang terselamat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 16.5 berdekatan Genting Highlands di Bentong, Pahang. – Foto: Bomba Pahang
BENTONG: Pemandu bas persiaran yang terlibat kemalangan di kilometer 16.5, jalan turun Genting Highlands-Bentong menghala ke Kuala Lumpur pada pukul 10.43 pagi hari ini tidak memiliki lesen.
Semakan polis terhadap pemandu bas berusia 32 tahun itu turut mendapati terdapat 27 saman lampau melibatkan pelbagai jenis kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata, makluman awal polis mendapati seramai 21 mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu termasuk pemandu bas.
“Pecahan penumpang berkenaan, iaitu seramai 18 orang penumpang terdiri daripada warga asing, manakala tiga orang warga tempatan juga terlibat merupakan pemandu, masing-masing seorang pembantu dan pemandu pelancong,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.
Menurut Zaiham, dua warganegara China meninggal dunia di tempat kejadian iaitu Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49.
“Kedua penumpang yang meninggal dunia tersebut dibawa ke Hospital Bentong untuk bedah siasat. Seramai 13 mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur manakala enam lagi dikejarkan ke Hospital Bentong,” katanya.
Menurutnya, orang ramai yang melihat kejadian itu diminta tampil membantu polis untuk siasatan.


































