Larry Sng (tengah) semasa sidang akhbar sempena perasmian Pejabat Perhubungan PBM Sabah di Penampang hari ini.
KOTA KINABALU: Identiti Borneo adalah pilihan terbaik untuk rakyat Sabah dan Sarawak yang telah lama ketinggalan dalam aspek pembangunan.
Menurut Utusan Malaysia, Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng berkata, rakyat Sabah perlukan ‘Borneo Solution’ kerana negeri ini sudah jauh ketinggalan dalam aspek pembangunan.
Pada masa ini, pilihan yang tepat adalah memperkukuhkan identiti Borneo bersama-sama dengan Sarawak supaya suara pemimpin Sabah dan Sarawak lebih didengari.
Sekarang perubahan mula dilihat di Sarawak kerana kestabilan politik di bawah pimpinan parti tempatan yang membolehkan kuasa berunding itu semakin meningkat.
Ahli Parlimen Julau berkata, di Sarawak pelbagai isu telah diselesaikan seperti infrastruktur, elektrik dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Malah, kita cuba mendapatkan autonomi pendidikan dan kesihatan.
“Sabah harus sedar bahawa mereka boleh mencapai perubahan yang sama sekiranya mereka bersama dengan Sarawak dalam memperkukuhkan identiti Borneo.
“Identiti Borneo adalah pilihan terbaik untuk Malaysia Timur. Hanya dengan itu sahaja kita dapat menyelesaikan masalah bekalan air, elektrik dan pendatang asing tanpa izin (PATI). Hanya kita yang tahu bagaimana untuk selesaikan masalah kita.
“Sekiranya kita bersatu dan mempunyai politik yang stabil barulah kita dapat mencapai apa yang telah ketinggalan selama ini,” katanya semasa merasmikan Pejabat Perhubungan PBM Sabah di Penampang hari ini.
Menurut Larry, biarpun pemimpin-pemimpin Sabah daripada pelbagai parti boleh berbahas dengan baik di Parlimen namun, masalah di negeri ini tidak pernah selesai kerana terlalu bergantung kepada Semenanjung.
Maka, tiba masa untuk lihat apa yang telah dicapai oleh Sarawak dan gunakan formula tersebut bagi membolehkan Sabah mencapai lebih banyak pembangunan.
Jelas beliau, di peringkat nasional, PBM merupakan salah satu daripada 17 parti yang berada dalam kerajaan perpaduan.


































