PETALING JAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan sekali lagi, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) adalah pusat panggilan yang berbentuk komunikasi sehala dan tidak membuat panggilan kepada mana-mana individu.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebanyak 60 kertas siasatan telah dibuka berkenaan kes penyamaran sebagai pegawai NSRC melibatkan nilai kerugian RM7.66 juta awal tahun ini sehingga 15 Jun lalu.
Kata beliau, dengan kes terbaharu membabitkan seorang individu warga emas berusia 70 tahun telah kerugian RM584,000 di Johor Bahru apabila menjadi mangsa penipuan penyamaran sebagai pegawai NSRC.
“Lebih malang, siasatan yang dijalankan mendedahkan wang sebanyak RM584,000 yang telah ditipu adalah wang hasil simpanan sepanjang hayat pengadu selama bekerja sebagai kerani di sebuah kilang.
“Ini bukanlah satu nilai yang kecil. Kerugian yang dialami oleh mangsa boleh dielakkan andai beliau tahu berkenaan modus operandi penipuan yang digunakan,” katanya di sini.
Mengulas lanjut, kata beliau, sebarang panggilan yang diterima kononnya dari NSRC adalah satu penipuan
“Saya menyeru kepada pihak media dan masyarakat di luar sana untuk terus menyebarkan mesej ini tanpa jemu kerana saya percaya, masih ada individu yang tidak sedar berkenaan perkara ini,” jelasnya.

































