Anwar Ibrahim (kanan) dan Li Qiang (kiri) ketika hadir Majlis Makan Tengah Hari bersama komuniti perniagaan Malaysia-China di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur.-Facebook Anwar
PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan erat Malaysia dan China dibina atas dasar sikap saling hormat- menghormati.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri berkata, hubungan itu terjalin sejak pemerintahan Maharaja China dan Sultan Melaka dan perhubungan itu menguntungkan kedua-dua negara.
“Ramai rakan saya di luar negara mempersoalkan sama ada hubungan dua hala kita yang dipertingkatkan dengan China boleh merugikan Malaysia, terutamanya kerana Malaysia adalah sebuah negara yang lebih kecil.
“Saya memberi jaminan bahawa hubungan kita (Malaysia – China) kukuh dalam sikap saling menghormati,” katanya di Facebook miliknya, hari ini.
Anwar berkata, kepimpinan China disifatkan mesra, berbudi bahasa dan lebih penting menghormati Malaysia.
“Walaupun bertubi-tubi soalan dan naratif, terutamanya dari Barat, saya telah menyaksikan pemahaman yang mendalam dan penghayatan perbezaan budaya dari China.
“Sepanjang perbincangan kami, tidak ada tanda-tanda keangkuhan atau merendahkan diri. Kami menangani isu berbangkit sebagai rakan kongsi yang sama dan rakan yang dipercayai,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, pihaknya mahu rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa yakin bahawa hubungan Malaysia dengan China dibina atas rasa hormat dan persahabatan yang tulus.
“Kami kekal komited untuk memupuk dan mengukuhkan ikatan antara Malaysia dan China,” katanya.

































