MEKAH : Dua daripada 31,600 jemaah haji tidak dapat melengkapkan ibadat wukuf pada Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar berkata, dua jemaah tersebut tidak dapat berbuat demikian disebabkan masalah kesihatan dan sedang berada dalam keadaan kritikal.
Malah katanya, jemaah haji tersebut juga tidak mencukupi syarat sebagaimana 72 jemaah lain sebelum ini yang dapat melaksanakan safari wukuf.
“Kedua-dua jemaah haji ini sebahagaian daripada mereka yang menerima rawatan sebelum tibanya hari wukuf lagi.
“Mereka kini sedang di rawat di Hospital King AbdulAziz, Jeddah sejak sebelum wukuf sehingga kini,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Menurut Mohd.Naim, pesakit yang tidak dapat melaksanakan wukuf akan diberi peluang untuk menunaikan ibadat haji pada masa akan datang bergantung kepada keadaan.
Dalam pada itu Mohd Naim berkata, jumlah pesakit yang kini sedang dirawat mencecah 93 orang sejak beberapa hari selepas hari wukuf.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, seramai 79 jemaah berada di Pusat Rawatan Tabung Haji di Syisya ;11 orang menerima rawatan di Hospital Arab Saudi dan tiga jemaah lagi dirawat di Klinik Kecemasan Janadriyah.
“Kebanyakan kes-kes adalah melibatkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman paru-paru disebabkan cuaca yang panas dan kering,” jelasnya.
Dalam pada itu, Mohd Naim berkata, terdapat enam kematian baharu yang direkodkan setakat semalam (19 Jun lalu), menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 14 jemaah meninggal setakat ini.
“Mereka ialah Bawi Solek, 75, dari Kampung Hilir Pusa, Sarawak; Raksan Matasil, 74, (Kota Kinabalu, Sabah); Madon Mohamed, 71, (Masai, Johor); Roba’ayah Yusoff, 71, (Beruas, Perak); Syed Abu Hassan Basri Syed Ahmad, 74, (Sauk, Perak); dan Nik Noor Azlinna Noor Basir, 54, berasal dari Kota Bharu, Kelantan.
“Kebanyakan mereka yang meninggal menghadapi masalah pernafasan paru-paru termasuk serangan jantung. Pihak hospital Arab Saudi dan Tabung Haji telah membantu Almarhum dan waris mereka telah dimaklumkan,” katanya.
































