Penyerang Perancis, Kylian Mbappe (duduk) sedang menerima rawatan daripada pasukan perubatan selepas hidungnya patah akibat perlanggaran kuat ketika menentang Austria dalam aksi Kumpulan D, Euro 2024.
DUESSELDORF: Kapten Perancis, Kylian Mbappe dilaporkan patah hidung sewaktu pasukannya menewaskan Austria 1-0 dalam aksi Kejohanan Eropah (Euro), kata sumber.
Menurut Utusan Malaysia, sumber tersebut berkata, kepala Mbappe berlanggar dengan bahu pertahanan Austria, Kevin Danso ketika mereka berebut bola di udara dan penyerang tersebut terpaksa meninggalkan padang pada minit ke-90 selepas mengalami pendarahan di hidungnya.
“Dia berada dalam keadaan teruk dan tidak baik. Hidungnya cedera, itu pasti,” kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.
Selepas perlanggaran tersebut, Mbappe meneruskan permainan sebelum dia terbaring di kotak penalti lawan dan penjaga gol Austria, Patrick Pentz memberitahu pengadil bahawa penyerang tersebut memerlukan bantuan.
Mbappe menerima rawatan daripada pasukan perubatan Perancis dan jersinya berlumuran darah ketika dia berjalan di tepi padang sambil memegang hidungnya.
Mbappe digantikan dengan penyerang veteran, Olivier Giroud.
Deschamps berkata dia tidak dapat mengesahkan tahap keseriusan kecederaan Mbappe ketika ditanya media sebelum pasukan Perancis pulang ke hotel penginapan.
“Dia bersama pasukan perubatan. Ia bukan luka kecil saya tahu dia sentiasa menjadi tumpuan namun saya tidak boleh mengulas lanjut,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis, Philippe Diallo kemudian mengesahkan kepada media bahawa Mbappe tidak perlu menjalani pembedahan.
Perancis akan bertemu Belanda di Leipzig, Jumaat ini namun Deschamps masih menunggu sama ada bintangnya, Mbappe boleh diturunkan atau sebaliknya.
“Saya sentiasa berkata bahawa pasukan Perancis akan lebih kuat dengan kehadiran Kylian. Jika kami mendapat tahu dia tidak akan bersama pasukan kami akan berjuang tanpanya.
“Kylian adalah Kylian dan mana-mana pasukan menjadi kuat dengan kehadirannya,” katan Deschamps.
Walaupun Mbappe cedera namun Deschamps masih boleh menarik nafas lega apabila Perancis memulakan kempen Euro dengan kemenangan malah mahu menamatkan pemburuan trofi Euro selepas kali terakhir memenanginya pada 2000.
“Bagus memulakan kempen dengan kemenangan. Kami sepatutnya lakukan dengan lebih baik menerusi percubaan yang ada namun secara keseluruhannya adalah positif dan kami menunjukkan kami boleh berjuang dengan baik.
“Itu penting. Kami ada kualiti dan bakat namun kami perlu kekal mantap,” katanya lagi.


































