Skuad Harimau Malaya perlu memperbaiki kedudukan ranking untuk berada dalam Balang 1 pada undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada Mac tahun hadapan.
PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya perlu memperbaiki kedudukan ranking untuk berada dalam Balang 1 pada undian pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang akan berlangsung pada Mac tahun hadapan.
Berada pada Balang 1 adalah jalan terbaik untuk anak buah Kim Pan Gon layak secara merit ke Piala Asia dua kali berturut-turut selepas membuat penampilan di Qatar pada Januari tahun lalu, biarpun tersingkir seawal peringkat kumpulan.
Ketika ini, Malaysia di tangga ke-138 dan perlu naik ke kedudukan yang meletakkan skuad kebangsaan berada dalam Balang 1 sebelum sesi undian bagi pusingan akhir Kelayakan Piala Asia 2027 yang dijangka berlangsung Disember ini.
Menurut Utusan Malaysia, kedudukan dalam Balang 1 sangat penting bagi memastikan Harimau Malaya berada dalam kumpulan dengan negara di ranking lebih baik kerana format kelayakan menyaksikan hanya enam juara kumpulan sahaja layak ke Piala Asia.
“Kita perlu melakukan perancangan untuk layak ke Piala Asia sekali lagi. Bagi saya, Piala Asia merupakan satu kejohanan yang penting untuk rakyat Malaysia kerana sebelum ini kita sudah layak beraksi di kejohanan berkenaan.
“Jadi, secara konsepnya samada kita mampu layak atau tidak, hanya enam (juara kumpulan) yang akan layak, saya fikir kita mesti berjuang untuk menaikkan ranking terlebih dahulu, kemudiannya kita mesti berada dalam Balang 1.
“Itu merupakan perkara yang amat mustahak, (jika) kita berada dalam Balang 2, sangat berbahaya dalam pusingan kelayakan nanti dan boleh menjejaskan impian ke Piala Asia,” kata Pan Gon.
Berdasarkan kedudukan ranking semasa, Malaysia yang menghuni ranking ke-138 dunia diletakkan dalam Balang 2 bersama-sama Filipina (141), Turkmenistan (143), Afghanistan (151), Yaman (156) dan Hong Kong (157).
Bagi meletakkan Malaysia dalam Balang 1, Harimau Malaya perlu mengatasi pasukan yang berada di kedudukan terakhir dalam balang tersebut iaitu India (121) atau kedua terakhir, Lubnan (120).
Sehubungan itu, pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA bermula September ini, Malaysia perlu memanfaatkan peluang dengan mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan berkualiti bagi menaikkan ranking sebelum berlangsungnya majlis undian itu nanti.
“Sejak Disember lalu, semua pertemuan kita menentang pasukan kuat, bagi saya, saya tak ambil kira (kemenangan atau kekalahan) dalam tempoh itu, (bagi saya) kemenangan menentang Taiwan merupakan kemenangan pertama pada tahun ini.
“Situasi ini sangat sukar kerana kita hilang banyak mata FIFA, kita perlu kutip lebih banyak mata FIFA untuk menjadi enam yang terbaik dan masuk dalam Balang 1,” tambah Pan Gon.

































