Mohamad Sabu (tengah) ketika merasmikan Program Libat Urus bersama Pemimpin Peladang Negeri Pulau Pinang di Nibong Tebal, Pulau Pinang hari ini.
NIBONG TEBAL : Semua petani termasuk pesawah yang menggunakan diesel akan diberikan subsidi.
Menurut Utusan Malaysia, jaminan tersebut diberikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan turun padang bagi memberi penjelasan lanjut berhubung pemberian subsidi diesel kepada golongan berkenaan bagi mengelak daripada timbulnya kekeliruan.
“Subsidi diesel sedang berjalan. Semua penanam padi yang menggunakan diesel diberi subsidi, semua sekali. Cuma, pendaftaran sedang berjalan.
“Saya yakin benda ini berlaku (disebabkan) kekeliruan dan salah faham akta ini dalam masa sebulan dua sahaja.
“Jadi, pihak kementerian (KPKM) akan bagi penjelasan, malah, Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan) sendiri turun untuk memberikan penjelasan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika hadir merasmikan Program Libat Urus bersama Pemimpin Peladang Negeri Pulau Pinang di sini.
Media sebelum ini melaporkan bahawa kenaikan harga diesel sebanyak RM1.20 seliter akan memberi kesan kepada golongan petani di negara ini, khususnya kepada penanam padi.
Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Asyaraf Mustaqim Badrul Munir berkata, kenaikan yang amat tinggi itu sememangnya dikhuatiri akan membebankan para petani.
Terdahulu, Amir Hamzah mengumumkan bahawa harga diesel di Semenanjung ditetapkan kepada RM3.35 seliter manakala harga bahan api itu di Sabah, Sarawak dan Labuan, bagaimanapun kekal RM2.15 seliter, bermula tengah malam Isnin.


































