Arifin yang diiringi Raisin (dua dari kiri) meninjau bangunan Kelas Tingkatan 6.
BEAUFORT: Permohonan peruntukan kecemasan bagi penyelenggaraan bumbung bangunan Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gadong akan dikemukakan esok (Rabu).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) yang juga Exco Pendidikan, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata permohonan peruntukan bernilai RM500,000 itu akan dikemukakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) kepada Kementerian Ekonomi.
“Pada hari ini, saya melawat SMK Gadong sepertimana yang dijanjikan bersama Pengarah JPNS.
“Kita sudah melihat tempat yang perlu kita selesaikan masalah ini dan kita akan mengutamakan penyelenggaraan atap di bangunan ini dan ini keutamaan kita.
“Sementara itu, Pengarah JPNS akan mengemukakan permohonan peruntukan kepada Kementerian Ekonomi esok dan kita minta agar penyelenggaraan ini dilaksanakan dengan segera sebaik sahaja ada (menerima) peruntukan. Peruntukannya lebih kurang RM500,000,” ujarnya kepada media selepas meninjau struktur bangunan usang di SMK Gadong dekat sini, hari ini.
Dalam pada itu, Pengarah JPNS Datuk Raisin Saidin memaklumkan struktur bangunan kelas pelajar Tingkatan Enam SMK Gadong masih kukuh dan berharap agar fokus serta pelaksanaan
Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) bagi semua calon Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak terganggu.”Kita dapati bahawa secara keseluruhannya, bangunan ini masih kukuh cuma bumbung itu sahaja yang perlu diselenggara.
“Saya berharap supaya pelajar yang disediakan pelan atau alternatif supaya Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) ini tidak terganggu.
“Keutamaan JPNS adalah pelajar-pelajar ini masih dapat belajar dengan baik dan menggunakan kemudahan belajar sedia ada,” katanya.
Menurutnya, seramai 42 orang calon STPM semester dua kini melaksanakan PnP dengan baik dan pihaknya sedang menunggu kehadiran pelajar semester satu yang dijangkakan berjumlah 30 orang dalam masa terdekat.
Bumbung bangunan kelas Tingkatan 6 sekolah terbabit dilaporkan diterbangkan angin ribut hujung tahun lepas dan telah menyebabkan struktur siling dan dinding reput akibat air hujan.


































