Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman ketika sidang akhbar di Menara KPJ, Jalan Tun Razak hari ini.
KUALA LUMPUR: Taktik sindiket laman web lucah didalangi warga China yang menjadikan kediaman elit di ibu negara sebagai lokasi menguruskan laman itu, dibongkar Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 5 Jun lalu.
Operasi khas pada 2.45 petang itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di dua kediaman sekitar Jalan Tun Razak di sini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam serbuan itu, empat warga China berusia antara 28 tahun hingga 42 tahun ditahan.
“Serbuan dilakukan atas maklumat berhubung kegiatan pusat panggilan penipuan dalam talian.
“Bagaimanapun, pemeriksaan dan penelitian pakar analisis mendapati sindiket ini menjalankan aktiviti promosi, memiliki serta menguruskan pemasaran laman web lucah yang menyasarkan pelanggan dalam kalangan warga China.
“Polis turut merampas enam unit komputer riba, 18 telefon bimbit, empat pasport, pelbagai peralatan internet dan wang tunai RM3,901,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ di sini, hari ini.
Ramli berkata, siasatan awal mendapati kediaman terbabit hanya dijadikan sebagai lokasi menguruskan laman web berkenaan.
Katanya, sindiket tersebut dikesan baru beroperasi di sini namun tidak menghasilkan video lucah di negara ini sebaliknya hanya berperanan sebagai pengendali.
“Kesemua suspek ditahan reman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam kes berasingan, Ramli berkata, polis mengesan satu rakaman video dalam laman sosial yang memaparkan wawancara seorang personaliti berpengaruh di forum antarabangsa dipercayai menggunakan teknologi AI.
Menurutnya, rakaman turut disertakan pautan kepada satu skim pelaburan kononnya boleh dipercayai dan memberi pulangan lumayan.
“Apa yang membimbangkan, kandungan video itu terlihat sangat meyakinkan yang mana watak digunakan, nada suara, gaya pertuturan serta gerakan bibir sangat mengelirukan dan hampir serupa individu sebenar,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya cakna perkembangan teknologi yang boleh disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjadi ancaman kepada orang ramai.































