England bakal tampil sebagai skuad termahal dalam kejohanan Euro 2024 yang akan membuka tirai di Jerman minggu ini.
LONDON: England bakal tampil sebagai skuad termahal dalam kejohanan Euro 2024 yang akan membuka tirai di Jerman minggu ini.
Menurut Utusan Malaysia, skuad kendalian Gareth Southgate bagaimanapun mengakhiri persiapan menjelang kejohanan itu dengan kekalahan 1-0 kepada Iceland di Wembley, Jumaat lalu.
Namun mereka kekal sebagai pasukan pilihan untuk muncul juara dengan barisan pemain bintang yang berada di dalam skuad.
Nama-nama seperti Harry Kane, Jude Bellingham, Phil Foden, Declan Rice, Cole Palmer dan Bukayo Saka menjadikan skuad ‘The Three Lions’ itu sebagai skuad termahal di kejohanan kali ini pada harga 1.29 bilion pound (RM7.71 bilion). Nilai skuad itu mengatasi pesaing terdekat, naib juara Piala Dunia, Perancis dengan kelebihan 250 juta pound (RM1.49 bilion).
Hanya England dan Perancis mempunyai skuad bernilai lebih 1 bilion pound (RM5.97 bilion) – menjadikan mereka antara pilihan untuk menjuarai kejohanan kali ini.
Di belakang mereka, Portugal( 890 juta pound )dan Sepanyol (820 juta pound), manakala Jerman (722 juta pound) melengkapkan kelompok lima teratas.






























