KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mempertimbangkan segala aspek termasuk impak ekoran pengumuman penyasaran subsidi bahan api diesel.
Menurut Utusan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta mengulas mengenai kebimbangan orang ramai terhadap pengumuman tersebut.
“Kami mengambil langkah yang cukup, ukuran yang mencukupi (kebimbangan harga barangan),” katanya dalam sidang media selepas Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Pada minggu lalu, Jemaah Menteri bersetuju untuk melaksanakan penyasaran subsidi ke atas diesel sekali gus dapat memberi penjimatan kepada kerajaan sekitar RM4 bilion setahun.
Oleh itu, pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung, layak memohon bagi sumbangan tunai kerajaan melalui Program Bantuan Subsidi Madani mulai hari (28 Mei).
Ketika diminta mengulas agar cadangan agar inisiatif itu diperluas kepada lebih banyak industri, beliau berkata, perkara ini akan dijawab Menteri Pengangkutan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
“Rujuk Menteri Pengangkutan, Menteri Armizan (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup),” katanya.
Semalam, Kementerian Kewangan menerusi memaklumkan pemilik kenderaan diesel persendirian berdasarkan kriteria kelayakan tertentu, boleh membuat permohonan di bawah kategori Budi Individu, manakala petani kecil dan pekebun kecil boleh memohon di bawah kategori Budi Agri-Komoditi.
Penerima yang layak di bawah kedua-dua kategori, akan disalurkan Budi Madani sebanyak RM200 sebulan seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan sama memaklumkan program Budi Madani melengkapi usaha sedia ada kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel, melalui sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.
Setakat ini, hampir 90,000 Fleet Card dikeluarkan kepada syarikat di bawah sektor pengangkutan awam darat dan sektor pengangkutan barangan darat.
Fleet Card membolehkan syarikat logistik yang layak untuk membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak, bagi memastikan kesan kos yang minimum kepada rantaian nilai logistik dan bekalan, secara langsung mengurangkan risiko kenaikan harga barangan keperluan rakyat.































