Nga Kor Ming menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Nurhana Hashim pada Majlis Aspresiasi Kecemerlangan Tahun 2023 Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Putrajaya, hari ini. Hadir sama, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) terutama di luar bandar, yang berdepan kekurangan peruntukan dalam isu penyelenggaraan pokok berusia.
Menurut Utusan Malaysia, Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kementerian akan mencari jalan sama ada menerusi Jabatan Landskap Negara (JLN) atau Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk membantu PBT berkenaan.
Kor Ming mengakui ada dari kalangan 91 PBT yang bertaraf majlis daerah, tidak cukup dana berbanding 20 lagi berstatus bandar raya dan 40 pula perbandaran.
“Justeru, KPKT sedia guna bajet PB1 iaitu peruntukan perbendaharaan bagi kemudahan awam untuk bantu PBT ini dari segi penyelenggaraan dan pembelian peralatan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan KPKT 2023 di sini, hari ini.
Ditanya bilakah perkara berkenaan akan dapat dilaksanakan, beliau dengan nada optimis memberikan jaminan bahawa isu kekangan itu boleh ditangani dalam masa yang terdekat.
Malahan, beliau berharap agar PBT terbabit segera menghantar pegawai mengikuti latihan dengan JLN sebagai arborist bertauliah, selain menjalankan proses inventori pokok dalam kawasan pentadbiran masing-masing dan perlu diselesaikan menjelang hujung tahun ini.
Tempoh masa tersebut katanya, dianggap amat kritikal kerana kelazimannya setiap akhir tahun, Malaysia akan mengalami taburan hujan amat tinggi susulan Monsun Timur Laut.
“Kita sedia maklum bahawa apabila masuk musim itu, seluruh negara mengalami hujan amat lebat sehingga ada banjir dan kebarangkalian pokok tumbang juga besar,” jelasnya.
Pada masa sama, beliau sudah mengarahkan kesemua PBT sentiasa aktif menyelenggara pokok berusia lanjut tetapi hanya dibenar untuk dahan atau rantingnya dicantas kemas.
Dasar KPKT tegasnya, amat jelas iaitu tiada pokok boleh ditebang kerana ia mengambil masa lama membesar kecuali jika disahkan membahayakan keselamatan orang awam.































