Khaw Kok Chin (tengah) menunjukkan pistol bersama peluru serta dadah yang dirampas dalam satu operasi di Pulau Pinang pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, semalam.
GEORGE TOWN: Kehidupan mewah seorang lelaki warga tempatan terbongkar apabila dia sebenarnya mengepalai satu sindiket pengedaran dadah jenis heroin dan syabu di negeri ini.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, suspek berusia 38 tahun itu bagaimanapun ditahan kira-kira pukul 5.30 petang Jumaat lalu di persimpangan Jalan Changkat Sungai Ara, di sini.
Katanya, penahanan lelaki itu seterusnya membongkar kegiatan memproses dadah di sebuah rumah teres tiga tingkat di situ.
Pada masa sama katanya, suspek dikatakan turut menyewa sebuah pangsapuri di Batu Uban untuk dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah.
“Susulan penahanan suspek, polis kemudiannya merampas dadah bernilai RM4.61 juta selain enam pucuk pistol pelbagai jenama bersama kira-kira 100 butir peluru.
“Dengan dipandu arah oleh suspek juga iaitu kira-kira pukul 7.20 malam, polis seterusnya menyerbu sebuah rumah teres tiga tingkat di Sungai Ara dan mendapati rumah yang disewa suspek dijadikan makmal memproses dadah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini semalam.
Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis menjumpai 42 bungkusan dadah berisi heroin seberat 13.83 kilogram (kg), satu ketulan mampat serbuk putih disyaki ‘heroin base’ seberat 376 gram, empat kotak plastik lutsinar disyaki kafein (93.87 gram) serta pelbagai peralatan memproses dadah.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut keesokan harinya di pangsapuri Batu Uban itu pula menjumpai 45 bungkusan dadah syabu seberat 46.19kg, 91 ketulan mampat serbuk putih disyaki heroin base seberat 33.76 gram, satu bungkusan plastik disyaki kafein seberat 24.14kg serta lapan botol kaca disyaki bahan kimia.
“Secara keseluruhannya, jumlah kesemua dadah yang dirampas dalam operasi ini adalah 13.84kg heroin, 34.14kg (heroin base), 46.19kg (syabu) dan 118.02kg (kafein) yang nilai keseluruhan rampasan adalah RM4.61 juta,” katanya.
Tambah Kok Chin, suspek yang disyaki aktif sejak awal tahun ini dipercayai bergerak sendirian dan dia akan memasak dadah di rumah teres di Sungai Ara sebelum menyimpan dadah berkenaan di pangsapuri di Batu Uban.
“Suspek dipercayai belajar ilmu memproses dadah daripada rakannya di Kuala Lumpur menerusi WhatsApp dan talian telefon.Bekalan dadah ini diperoleh dari negara jiran dan pasaran dadah ini untuk pasaran tempatan terutama di Pulau Pinang, negeri utara serta Lembah Klang,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, walaupun suspek bertindak sebagai tukang masak dadah dan penjaga stor, polis tidak menolak kemungkinan suspek adalah ketua sindiket disebabkan aset yang dirampas seperti kondominium di Pulau Pinang bernilai lebih RM500,000 yang didiami didaftar atas nama isteri suspek, malah suspek turut mempunyai rumah mewah lain di Rawang.





























