Keadaan helikopter yang diterhempas di Stadium TLDM Lumut. – Utusan/Media Sosial
PETALING JAYA: Laporan penuh nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, pada 23 April lalu, akan dikeluarkan pada selewat-lewatnya minggu depan.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini, laporan penuh berkaitan nahas tersebut masih lagi dalam proses dimuktamadkan.
“Tidak lama lagi akan kita keluarkan. Mungkin akhir minggu depan. Ia sedang dimuktamadkan,” katanya selepas pada Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia dan Sijil Perhebat di Kompleks Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera, Kem Sungai Buloh.
Berdasarkan laporan awal Lembaga Siasatan TLDM yang dikeluarkan pada 9 Mei lalu, laporan akhir nahas yang meragut nyawa 10 pegawai dan anggota TLDM yang dijangka siap pada esok.
Menurut laporan awal tersebut, Lembaga Siasatan yang ditubuhkan mendapati mendapati kedua-dua pesawat berada dalam keadaan baik untuk melakukan penerbangan, pada masa semua kru terlibat juga berapa pada tahap kesihatan baik untuk mengendalikan helikopter tersebut.
Kerja selenggaraan kedua-dua pesawat disahkan dilaksanakan mengikut prosedur dan rutin yang ditetapkan oleh pihak Original Equipment Manufacturer (OEM).
“Keadaan cuaca pada hari kejadian adalah baik dan sesuai untuk melaksanakan penerbangan.
“Pesawat HOM AW139 mempunyai kotal hitam manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada tahun 2003 (21 tahun) tidak dilengkapi dengan peralatan tersebut.
“Data yang telah dianalisis daripada Multi Purpose Flight Data Recorder atau kotak hitam pesawat HOM AW139 telah diterima (pada 3 Mei) daripada pihak OEM untuk penilaian lanjut oleh Lembaga Siasatan,” katanya.
Dalam tragedi pada 9.32 pagi itu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri daripada tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban, selepas helikopter dinaiki terhempas semasa menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.
Tujuh mangsa yang menaiki pesawat HOM-AW139 adalah Pegawai Memerintah Skuadron 503, Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi; Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun; Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd. Saedy; Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar dan Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna
Tiga lagi kru yang menaiki pesawat Fennec adalah Pegawai Memerintah Skuadron 502; Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan Sivasutan Thanjappan dan Pegawai Waran II TMK Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi.































