PETALING JAYA : Satu siasatan telah dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap seorang pempengaruh yang terkenal dengan video mengaji di jalanan selepas disyaki melakukan jenayah gangguan seksual.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mengesahkan ini dan berkata, siasatan berkenaan dilakukan di bawah seksyen 509 kanun keseksaan.
“Kita juga buka kertas siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil,” katanya ketika dihubungi.
Sejak Ahad, tular di platform X laporan polis seorang individu yang menyatakan pempengaruh itu memintanya melakukan perkara tidak senonoh ketika berhubung menerusi panggilan video selain menghantar mesej berbaur lucah dan melakukan cubaan merabanya ketika mereka keluar bersama.
Bukan setakat itu, seorang pengguna platform X menerusi ciapannya turut menulis surat terbuka kepada pempengaruh berkenaan dengan mendakwa menerima kiriman mesej daripadanya yang mahu memfailkan saman.
Pengguna platform X itu turut mendakwa dimaki hamun oleh golongan digelarkannya pentaksub kepada pempengaruh berkenaan dan menuntut pempengaruh berkenaan melakukan sumpah laknat bagi menafikan perbuatannya.
Susulan itu, pempegaruh itu turut menafikan dia terbabit dalam jenayah gangguan seksual seperti tular di media sosial.































