Seorang bayi yang memerlukan alat bantuan pernafasan digendong ibunya sambil bapanya menunggang motosikal mendapat perhatian Perdana Menteri – Facebook/Farhan Fauzi
PETALING JAYA: Kesusahan sebuah keluarga menaiki motosikal bersama bayi mereka yang memakai alat bantuan pernafasan seperti yang tular mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Utusan Malaysia, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keluarga berkenaan supaya menyalurkan maklumat bagi membolehkan wakil Perdana Menteri menghubungi mereka.
“Hal ini telah mendapat perhatian Perdana Menteri dan insya-Allah pihak kami akan membantu keluarga ini dalam menambah balik kehidupan seharian mereka,” kata satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, seorang pengguna media sosial yang menggunakan nama Arena Motor berkata, bayi tersebut mengalami masalah paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen sepanjang masa.
Jelasnya, keluarga tersebut menetap di Kota Nelayan, Kedah.
“Ayahnya hanya seorang nelayan yang bergaji hari dan tidak mempunyai kereta. Dengan motorsikal itulah mereka sekeluarga berulang alik untuk ke hospital,” katanya.































