ALOR GAJAH: Gelap mata selepas ditawarkan tiket loteri yang dikatakan memenangi tempat pertama, seorang suri rumah menjadi mangsa pukau empat individu dipercayai warga Indonesia dan kehilangan barang kemasnya bernilai RM20,000, Sabtu lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, mangsa berusia 58 tahun itu dihampiri suspek ketika sedang membeli barangan dapur di sebuah pasar raya di Masjid Tanah di sini.
Katanya, mangsa ditawarkan wang tunai RM50,000 sebagai upah membantu suspek menuntut hadiah loteri berjumlah RM500,000 dengan alasan mereka tidak mempunyai kad pengenalan untuk berbuat demikian.
“Suspek telah menawarkan kepada mangsa untuk menunaikan tiket tersebut kerana mereka tidak dibenarkan menuntut wang kemenangan kerana tidak memiliki kad pengenalan.
“Mangsa yang terpengaruh dgn kata-kata manis suspek telah ikut mereka masuk ke kereta dan ingin pergi ke kedai loteri untuk menuntut wang kemenangan. Semasa dalam perjalanan suspek telah minta mangsa cagarkan barang kemas mangsa dengan alasan mangsa tidak tipu mereka setelah tuntut hadiah tersebut.
“Mangsa menurut kata-kata suspek dan telah serahkan seutas rantai bersama loket emas dan gelang tangan emas kepada suspek,” katanya kepada pemberita.
Tambah Ashari, semasa ingin masuk ke premis loteri, kereta yang dinaiki kesemua suspek terus beredar meninggalkan mangsa.
Jelasnya, setakat ini tiada kertas siasatan dibuka memandangkan mangsa tidak mengingati wajah suspek terlibat.
Ujarnya, sejak tahun lalu pihaknya menerima 18 laporan didakwa dipukau, namun hanya empat kertas siasatan dibuka dan kebanyakan kes bukanlah disebabkan mangsa dipukau tetapi terpedaya dengan pujuk rayu suspek.
“Apabila sampai di lokasi kedai, suspek telah serahkan tiket loteri kepada mangsa dan mangsa turun untuk ke kaunter manakala suspek tunggu dalam kereta.
“Usaha untuk dapatkan maklumat berkaitan suspek sedang diusahakan. Kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkaitan sedang dilihat untuk semak kenderaan suspek. Jika ada petunjuk yang positif siasatan akan diteruskan,” jelasnya.































