PORT DICKSON: Polis menafikan kes pergaduhan yang berlaku di Bandar Springhill di sini pada 11 Mei yang lalu adalah membabitkan pergaduhan kumpulan kongsi gelap seperti yang ditularkan dalam media sosial.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kira-kira pukul 12.50 tengah malam 11 Mei lalu, pihaknya telah menerima maklumat dari orang awam mengatakan terdapat satu pergaduhan di sebuah kedai di Kampung Sungai Sendayan dekat Bandar Springhill.
“Siasatan awal mendapati tiga orang mangsa telah mengalami kecederaan luka di bahagian kepala, telinga, tangan dan lengan. Seramai dua orang mangsa telah menerima rawatan di Hospital Port Dickson dan seorang mangsa di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban.
“Mangsa serta suspek ketika itu dalam pengaruh minuman keras. Siasatan pihak polis juga mendapati tiada sebarang unsur kongsi gelap dikesan dalam kes ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Menurut Aidi Sham, bertindak atas maklumat, bermula pukul 5 pagi hari yang sama sehingga pukul 1.30 petang, 13 Mei lalu, polis telah menangkap lima lelaki tempatan di kawasan Seremban dan Telok Kemang atas kesalahan merusuh.
“Suspek yang ditangkap berusia lingkungan 32 tahun sehingga 42 tahun. Seramai empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua telah direman di lokap Balai Polis Port Dickson.
“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan dan kesemua tertuduh telah dituduh di Mahkamah Majistret Port Dickson, 17 Mei lalu,” kata beliau.
Tambahnya, punca kejadian pergaduhan berkenaan adalah kerana salah seorang mangsa telah menyalahgunakan gambar di dalam aplikasi WhatsApp menyebabkan suspek tidak berpuas hati.
“Kami menasihati orang awam supaya tidak menularkan isu berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan berhemah dalam penggunaan di media sosial. Tindakan itu boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu tular berlakunya pergaduhan yang didakwa antara kumpulan kongsi gelap yang menggunakan senjata parang di Bandar Springhill di sini. Turut tular beberapa gambar yang menunjukkan kecederaan dialami oleh individu yang didakwa sebagai ahli kumpulan kongsi gelap.





























