KOTA KINABALU: Dua individu termasuk seorang guru besar ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu dengan nilai kira-kira RM10,000.
Kedua-dua individu berusia 40-an dan 50-an ditahan kerana didakwa mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu bagi tujuan pembelian peralatan persekolahan sedangkan pembelian tersebut tidak dilaksanakan.
Menurut Utusan Malaysia, sumber berkata, kedua-dua suspek masing-masing seorang wanita dan lelaki dipercayai ditahan kira-kira pukul 10 pagi di pejabat SPRM Sabah ketika diminta hadir memberi keterangan.
“Kedua-dua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada Disember 2018 dan individu wanita yang dipercayai pemilik syarikat telah mengemukakan tuntutan palsu melalui invois-invois dan telah diperakui penerimaan oleh pegawai di institusi pendidikan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 471 dan 107 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, suspek dijangka dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu esok (21 Mei).
































