Orang ramai berpusu-pusu ke pejabat KWSP bagi urusan pengeluaran Akaun Fleksibel, semalam.
PETALING JAYA: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh melakukan pengeluaran Akaun Fleksibel (Akaun 3) tanpa sebarang had maksimum.
Menurut Utusan Malaysia, seorang pegawai KWSP memaklumkan, had minimum pengeluaran akaun tersebut yang dibenarkan adalah RM50.
Justeru, katanya, tiada had maksimum lebih RM250 sehari seperti mana yang didakwa di media sosial.
“Minimum pengeluaran RM50 dan maksimum adalah berapa jumlah yang ada di dalam Akaun 3.
“Jika mahu keluarkan RM1,000 sehari pun boleh, tidak ada masalah, selagi ada amaun dalam Akaun 3,” jelasnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
Jelas beliau, pencarum juga boleh mengeluarkan kesemua amaun dalam Akaun Fleksibel tanpa sebarang sekatan.
Ujarnya, ini kerana tiada baki dalam akaun terbabit yang perlu ditinggalkan menerusi inisiatif pengeluaran berkenaan.
“Tiada baki yang perlu ditinggalkan, ia selagi ada amaun dalam Akaun 3,” jelasnya.
KWSP kini menstrukturkan semula simpanan pencarum dengan memperkenalkan tiga akaun baharu iaitu Akaun Persaraan (Akaun 1); Akaun Sejahtera (Akaun 2) dan Akaun Fleksibel (Akaun 3).
Akaun Persaraan merupakan simpanan caruman hari persaraan, Akaun Sejahtera bagi keperluan kitaran hayat semasa persaraan dan Akaun Fleksibel yang memudahkan pencarum membuat pengeluaran pada bila-bila masa.
Pada masa sama, semakan menerusi soalan lazim di laman web KWSP mendapati, pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa melalui aplikasi KWSP i-Akaun.
Pencarum tidak perlu mengemukakan dokumen sokongan untuk membuat permohonan pengeluaran, namun perlu mempunyai akaun bank yang aktif atas nama sendiri bagi memudahkan proses bayaran pengeluaran.
Dalam perkembangan sama, tinjauan Utusan Malaysia di pejabat KWSP di sini mendapati orang ramai berpusu-pusu datang bagi melakukan urusan berhubung pengeluaran Akaun Fleksibel pada hari ketiga, semalam.
Difahamkan hampir 2,000 pencarum hadir setakat pukul 12 tengah hari.
Seorang pembantu jualan, Munah, 32, berkata, pengeluaran Akaun Fleksibel membantu dia dan suami untuk menyelesaikan pinjaman rumah.
“Sekarang gaji saya dan suami pun cuma RM1,500 dan perlu kerja lebih masa jika mahu capai lebih RM2,000.
“Jadi, bila dapat keluarkan ini, sebab itu fikir boleh selesaikan pinjaman rumah dengan cepat. Malam pun boleh tidur lena apabila hutang sudah tiada,” katanya.
Sementara itu, seorang pemandu lori, Fairus, 25, berkata, dia mengeluarkan Akaun Fleksibel untuk membaiki keretanya yang rosak.
Katanya, kerosakan kenderaan membantutkan pergerakannya.
“Apabila ada peluang sebegini, simpanan pun tidak terganggu. Jika tidak, mungkin bergelut sedikit untuk baiki kereta,” katanya.


































