Jalumin Bayogoh
KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) mahu Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Kenajuan Desa dan Wilayah menyalurkan dana pembangunan ke Sabah mengikut saluran yang betul.
“Jika cerdik teman berunding, jika bodoh disuruh diarah, peribahasa Melayu ini mengiaskan keikhlasan seseorang untuk membantu,” kata Ketua Penerangan STARSABAH, Datuk Jalumin Bayogoh.
Beliau berkata demikian ketika diminta memberikan komen tentang penubuhan Jawatankuasa Komuniti Desa Madani (JKDM) yang sedang rancak dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sekarang ini.
Jalumin mengutarakan pertanyaan yang sama seperti pertanyaan Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai yang bertanya apakah rasional penubuhan JKDM Persekutuan yang melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Sabah.
“Kita bukannya menolak, jauh sekali membantah usaha serta inisiatif yang diambil oleh mana-mana pihak, apatah lagi kononnya usaha untuk pembangunan dan kemajuan rakyat.
“Kita alu-alukan usaha untuk memajukan Sabah, untuk mensejahterakan rakyat, namun, pada masa yang sama, kami juga mahu Kerajaan, pemimpin dan rakyat Sabah dihormati.
“Oleh itu, kami inginkan penjelasan tentang program ini. Umum mengetahui di Sabah sudah ada sistem pentadbiran dari peringkat Negeri sehinggalah ke peringkat kampung.
“Setiap kampung, kita ada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik oleh Kerajaan berdasarkan kelayakan mereka menjalankan tanggungjawab.
“Jadi, apakah tujuan penubuhan JKDM ini?”
Jalumin bertanya, sekiranya ada peruntukan untuk kemajuan dan pembangunan untuk rakyat Sabah, kenapa tidak disalurkan kepada Kerajaan?
“Perlu diingatkan bahawa, sejernih-jernih air, jika melalui pembuluh yang kotor, tentu kotor juga airnya.
“Jika ikhlas membantu, lakukan dengan cara yang betul. Kalau hendak seribu daya, kalau tidak seribu dalih, jangan ada udang di sebalik batu.”


































