KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menggalakkan pemilik memasang kamera papan pemuka kenderaan (dashcam) pada kenderaan masing-masing untuk merakam dan merekodkan situasi yang berlaku di jalan raya.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya menerima banyak cadangan untuk mewajibkan pemasangan dashcam pada kenderaan.
“Tetapi, untuk mewajibkan perkara baharu ia merupakan satu cabaran. Setakat ini belum ada perancangan ke arah itu (mewajibkan), tetapi kita galakkan terutama kenderaan baharu untuk dipasang dashcam,” katanya dalam Sesi Libat Urus Menteri Pengangkutan Bersama Editor Media di Hotel Royale Chulan di sini hari ini.
Kata Anthony, pihaknya juga menggalakkan kenderaan pengangkutan awam termasuk bas untuk memasang dashcam.
Jelasnya, alat itu berperanan merakam apa juga yang berlaku di jalan raya dan rakaman yang direkodkan boleh dijadikan bahan bukti atas apa juga yang berlaku seperti kemalangan.
“Jadi ini dapat membantu sekiranya berlaku apa-apa kejadian di atas jalan raya,” katanya.


































