Jannie (duduk, tengah) bersama wakil penerima sumbangan.
PENAMPANG: ADUN Kapayan, Jannie Lasimbang memberikan sumbangan RM25,000 kepada empat persatuan iaitu Sabah Society for the Deaf, Sabah Society for the Blind, Program Pemulihan Dalam Komuniti Daerah Penampang dan Seri Mengasih Centre di Pejabat Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kapayan, di sini, pagi tadi.
Sebelum ini, bantuan yang sama telah diberikan kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Penampang.
“Sedikit sumbangan ini saya berikan bagi membantu persatuan-persatuan tersebut untuk menjalankan aktiviti mereka. Ini adalah salah satu matlamat saya sebagai ADUN iaitu membantu semua golongan masyarakat tidak terkecuali juga golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” kata Jannie.
Beliau percaya persatuan atau NGO perlu lebih banyak bantuan daripada Kerajaan, pihak swasta serta masyarakat amnya kerana semua mengalami masalah kewangan sejak pandemik Covid-19.
“Jumlah OKU di Sabah semakin meningkat, oleh itu saya juga menyeru kepada Kerajaan dan pihak swasta untuk memberi lebih tumpuan dan sokongan kepada persatuan yang menjalankan latihan serta bimbingan kepada OKU di Sabah.
“Saya bertekad untuk membantu mencari pendana dan menulis kertas kerja agar sumber kewangan persatuan diperluaskan, termasuklah dari pendana antarabangsa yang kini lebih peka terhadap keperluan dan peningkatan jumlah OKU.”
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Cyril Liew, Pegawai Kemajuan Masyarakat, Kenneth Wong, Pegawai Bantuan ADUN Kapayan, Jenny Boniol, dan pegawai-pegawai daripada Pejabat ADUN Kapayan.


































