Fahmi Fadzil
PETALING JAYA: Agensi berita antarabangsa, Reuters, menafikan mengeluarkan laporan bahawa Malaysia menjadi negara pertama Asean yang dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat kononnya berpunca daripada tindakan empat syarikat tempatan membiayai pengganas.
Menurut Utusan Malaysia, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, penafian tersebut sudah dibuat oleh agensi berita berbahasa Inggeris tersebut melalui akaun X (sebelum ini Twitter) miliknya.
“Pengesahan yang saya terima dari pihak Kedutaan Amerika Syarikat, saya sahkan bahawa mesej tular itu adalah palsu,” katanya menerusi akaun X miliknya.
Reuters di akaun X Teuters Press Team berkata, sebarang dakwaan bahawa agensinya melaporkan bahawa Malaysia adalah negara pertama di Asia Tenggara yang disenaraikan sebagai pembiaya pengganas adalah palsu.
“Reuters tidak melaporkan perkara ini,” katanya.
Terdahulu, tular di aplikasi WhatsApp laporan berita mendakwa Amerika Syarikat mengenakan sekatan terhadap empat syarikat tempatan menjadikan Malaysia negara pertama di Asia Tenggara dikenakan tindakan tersebut.
Menurut laporan yang didakwa dilaporkan Reuters tersebut, punca sekatan disebabkan keempat-empat syarikat berkenaan dikatakan membiayai aktiviti pengganas.
































