Mohd. Rafi Abd. Razak dan Anis Amalina Mazlin hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat bagi kes tuntutan saman terhadap dua pengasuh yang didakwa cuai menyebabkan bayi mereka meninggal dunia akibat tersedak susu
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan sepasang suami isteri untuk memasukkan penghakiman ingkar dalam tuntutan saman terhadap dua pengasuh anaknya yang didakwa cuai menjaga bayi perempuan sulung mereka berusia tiga bulan yang meninggal dunia akibat tersedak susu, tahun lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Hakim Zawiyah Saad membenarkan permohonan Mohd. Rafi Abd Razak, 26, dan isterinya, Anis Amalina Mazlin, 28, selaku plaintif terhadap dua pengasuh masing-masing berusia 58 dan 35 tahun itu sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada 9 April lalu.
Peguam Muhammad Hariz Md. Yusoff yang mewakili pasangan suami isteri itu ketika ditemui selepas prosiding berkata, mahkamah merekodkan penghakiman ingkar pada 7 Mei lalu dan membenarkan tuntutan yang difailkan plaintif.
“Anak guam kami telah memfailkan saman mengikut prosedur dan teratur, namun defendan lewat memasukkan kehadiran dan hanya melantik peguam selepas penghakiman ingkar direkodkan mahkamah,” katanya.
Menurut peguam itu, setakat ini tarikh baharu bagi prosiding seterusnya akan diketahui nanti.
Terdahulu berdasarkan tuntutan saman yang difailkan plaintif, pasangan itu mendakwa pada 15 Jun 2023, plaintif pertama iaitu bapa bayi itu menghantar anaknya ke rumah defendan sekitar pukul 6.48 pagi.
Namun pada pukul 11.40 pagi hari yang sama, lelaki itu menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan bahawa anaknya dalam keadaan lemah dan tidak bernafas sambil menggesa plaintif untuk pulang segera.
Bapa si mati turut memaklumkan kepada pengasuh itu supaya menghubungi pihak ambulans dengan kadar segera bagi mendapatkan bantuan perubatan segera terhadap si mati.
Dalam perjalanan pulang, plaintif telah menghubungi defendan bagi mendapatkan status keberadaan anaknya dan telah dimaklumkan oleh defendan bahawa si mati telah diambil oleh ambulans namun tiada maklumat si mati dibawa ke hospital mana.
Hal itu telah menyebabkan plaintif pertama terpaksa bergegas pergi ke hospital berdekatan iaitu Hospital Putrajaya.
Plaintif mendakwa defendan-defendan tidak menemani anaknya membiarkan mangsa berseorangan dalam ambulans serta tidak mengambil peduli keberadaan atau hala tuju kenderaan tersebut yang menunjukkan bahawa defendan tidak peduli keadaan anaknya ketika itu.
Pihak Hospital Putrajaya kemudian mengesahkan anaknya pada masa material sudah tidak bernafas meskipun bantuan kecemasan telah diberikan oleh pihak hospital dan mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 12.17 tengah hari pada hari yang sama.
Mengikut maklumat, plaintif dimaklumkan bahawa keadaan perut anaknya pada masa material dipenuhi dengan susu apabila terdapat banyak susu yang keluar melalui mulut dan hidung si mati ketika bantuan kecemasan diberikan.
Justeru, plaintif-plaintif memplidkan bahawa kematian si mati adalah disebabkan tindakan pengabaian dan kecuaian defendan yang memberi susu secara berlebihan kepada si mati tanpa pantauan dan perhatian yang penuh dan rapi oleh defendan-defendan.
Plaintif-plaintif menuntut ganti rugi lebih RM100,000 daripada kedua-dua defendan yang mana antaranya ganti rugi kesedihan, ganti rugi khas selain faedah yang dianggap sesuai oleh mahkamah.




























