Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak telah membentangkan 15 perkara yang komprehensif kepada kerajaan persekutuan yang bertujuan untuk menurunkan kuasa bidang pendidikan daripada kerajaan pusat kepada kerajaan Sarawak.
Menurut Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, perkara yang dibentangkan adalah sebahagian daripada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam rangka kerja perenggan 17 Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1962.
Beliau berkata pada masa ini pihak kementerian beliau dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedang mendokumentasikan perkara yang telah dipersetujui dan menterjemahkannya dalam bentuk pekeliling supaya pelaksanaannya berjalan lancar.
“Kita juga sedang mengkaji secara mendalam sama ada perkara yang dipersetujui ini boleh ditafsirkan kepada peraturan atau sebarang bentuk pindaan kepada status atau mana-mana status yang berkaitan.
“Ini supaya ada kepatuhan kepada apa yang telah dipersetujui dan juga kesinambungan dalam apa yang telah dipersetujui kerana seperti yang kita tahu setiap kali pertukaran menteri atau setiap kali pertukaran kerajaan ada sahaja perubahan dalam dasar tetapi berkenaan dengan MA63, kami tidak mahu perkara itu berlaku lagi.
“Oleh itu, kita sedang mengkaji sama ada kita boleh memasukkan ini dalam bentuk peraturan atau dalam bentuk pindaan,” jelas beliau semasa menjawab soalan Ding Kuong Hiing (GPS-Meradong) pada hari keempat persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 hari ini.
Bagaimanapun, menurut Annuar terdapat beberapa kaedah yang berada di luar bidang kuasa KPM.
“Oleh itu, kita akan memajukan perkara ini kepada pihak atasan untuk pertimbangan mereka mengenai bidang yang menjadi kebimbangan kerana isu paling penting sebelum ini yang kita hadapi di Sarawak ialah kekurangan guru,” katanya.































