MELAKA: Tiga lelaki berusia antara 33 hingga 38 tahun yang dikenali sebagai ‘Geng Bacin’ diberkas polis di Tehel dan Jasin dekat sini, semalam selepas dipercayai terlibat dalam tiga kes samun berkawan menggunakan pistol mainan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, geng yang disyaki melakukan jenayah samun di tiga premis di Telok Mas, Krubong serta Taman Tambak Paya Harmoni pada Isnin dan Selasa lalu diketuai oleh seorang pelukis pelan di sebuah agensi kerajaan berusia 36 tahun, dikenali sebagai Bacin.
Beliau berkata, dua lagi suspek berusia 33 dan 38 tahun masing-masing merupakan bekas anggota polis yang telah dibuang kerja pada 2021 dan penganggur.
Ujarnya, modus operandi geng berkenaan adalah menyasarkan premis seperti kedai runcit dengan menggunakan senjata menyerupai sepucuk pistol.
“Kes pertama berlaku Isnin lalu pada pukul 12.50 tengah hari di sebuah kedai aksesori telefon di Krubong. Kemudian pada hari sama di Taman Tambak Paya Harmoni kira-kira pukul 7.21 malam dua suspek telah ke kedai ini mengeluarkan satu objek berwarna hitam disyaki pistol lalu membongkar laci.
“Mereka bertanyakan kepada pekerja kedai runcit tempat penyimpanan duit dan turut mengugut mahu menembak.
“Seterusnya pada Selasa kira-kira pukul 11.52 pagi, ketiga-tiga suspek telah menyamun sebuah lagi kedai menjual beg di Telok Mas dengan modus operandi sama,” katanya kepada pemberita.
Tambah Zainol, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 15 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat.
Jelasnya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Semakan turut mendapati kesemua individu yang ditahan mempunyai rekod kesalahan jenayah serta dadah. Polis turut merampas barang-barang antaranya seperti objek menyerupai sepucuk pistol, dua buah kereta, sebuah motosikal dan telefon bimbit pelbagai jenama,” jelasnya.































