Hannah Yeoh
PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat mengenal pasti dengan segera motif sebenar pemain sayap Harimau Malaya, Faisal Abdul Halim disimbah asid dalam kejadian pada Ahad lalu.
Menurut Utusan Malaysia, Hannah berkata, beliau mahu pastikan PDRM mengambil tindakan paling tegas terhadap suspek untuk kenal pasti motif bagi mengelak kejadian yang sama berulang dan berlaku kepada mana-mana pihak yang lain.
“Kita betul-betul kesal melihat tragedi ini, ia tidak sepatutnya berlaku terhadap atlet kita atau mana-mana manusia. Itu sebab saya nak pastikan polis ambil tindakan paling tegas terhadap suspek untuk pastikan motif ini kita kenal pasti
“Kalau motif itu kita tidak kenal pasti, saya risau akan berlaku pada orang lain oleh sebab itu siasatan polis amat penting.
“Untuk Faisal saya nak pastikan fokus dahulu rawatan jangan risau pasal boleh main bola balik. Pertandingan seterusnya saya nak beliau tahu beliau betul-betul dihargai.
“Bukan sahaja oleh kerajaan tetapi semua rakyat Malaysia mendoakan beliau cepat sembuh dan saya percaya Faisal ada ruang ,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.
Dalam insiden di sebuah pusat beli-belah sekitar Petaling Jaya, Ahad lepas, Faisal yang mesra dengan gelaran Mickey disimbah asid oleh individu tidak dikenali hingga mengakibatkan kelecuran tahap empat di beberapa bahagian badannya.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, kementeriannya akan memberi sokongan penuh kepada Faisal dalam tempoh rawatan dan beliau juga akan mendapat sokongan Institut Sukan Negara (ISN) untuk fisioterapi yang diperlukan secara percuma.
“Saya percaya FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan KBS akan bekerjasama untuk pastikan Faisal dapat rawatan yang secukupnya untuk pulih. Itu sebab kalau kecederaan hari ini tidak bermaksud esok beliau tidak boleh main.
“Jadi kita akan fokus kepada pemulihan untuk beliau dan saya percaya kalau kita ada semua tenaga pakar untuk membantu beliau saya percaya beliau boleh sembuh,” kata Hannah.




























