PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes simbah asid penyerang Selangor FC, Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Damansara, di sini semalam.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan membabitkan lelaki berusia 20-an di Pandan Indah, Kuala Lumpur.
“Kita akan mendapatkan perintah reman hari ini. Dalam pada itu, kita telah merakam keterangan tiga individu termasuk mangsa (Faisal).
“Beberapa saksi bebas akan dipanggil bagi membantu siasatan’” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, polis mengesahkan pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim, cedera disimbah cecair dipercayai ketika pemain itu berada di sebuah pasar raya terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Beliau berkata, mangsa dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil dengan menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Petaling Jaya.
“Pada pukul 5.52 petang tadi, polis Petaling Jaya menerima maklumat daripada orang awam melalui panggilan kecemasan 999 bahawa seorang pemain bola sepak kebangsaan telah disimbah cecair dipercayai asid.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya melalui talian 03-79662222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Terdahulu, tular dalam laman media sosial, pemain yang dinobat sebagai Penjaring Gol Tercantik Piala Asia itu disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Damansara di sini.
Perkembangan mengenai insiden itu turut disahkan Selangor FC (SFC) dalam satu kenyataan.
Kejadian itu berlaku selepas tidak sampai seminggu insiden seorang lagi pemain kebangsaan, Akhyar Rashid, disamun di Terengganu.
































