MACHANG: Seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz di sini dicekup selepas dipercayai meliwat tiga pelajar lelaki di pusat tersebut sejak dua tahun lalu.
Suspek yang berusia 39 tahun itu ditahan pada 16 April lalu untuk membantu siasatan.
Menurut Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, pihaknya menerima tiga laporan berhubung kejadian liwat melibatkan tiga pelajar tahfiz berusia 12 hingga 13 tahun kira-kira pukul 12.56 tengah malam pada 15 April lalu.
Menurutnya, siasatan mendapati, kejadian tersebut berlaku sejak dua tahun lalu.
“Kesemua mangsa dipercayai diliwat oleh seorang ustaz di sebuah pusat tahfiz di daerah ini.
“Suspek ditahan reman tujuh hari bermula 16 hingga 22 April lalu. Lelaki itu kemudiannya disambung reman tujuh hari bermula Selasa lalu hingga Isnin depan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ahmad Shafiki memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana meliwat.
Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan kes selesai dijalankan.


































