ZMY Magnetic Aura Night Cream dikesan mengandungi racun berjadual.
PUTRAJAYA: Produk kosmetik ZMY Magnetic Aura Night Cream mengandungi racun berjadual merkuri yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.
Menurut Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM), Rosilawati Ahmad berkata, justeru, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.
Dalam hal itu, katanya, orang awam digesa untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik kerana produk kosmetik yang mengandungi Merkuri boleh diserap masuk
ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.
“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.
“Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rosilawati pada masa sama mengingatkan penjual dan pengedar menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik berkenaan serta-merta kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Jelasnya, individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.
Hukuman denda boleh dikenakan tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.
“Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya,” ujarnya.


































