Dr. Jeffrey Kitingan
KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan melalui Jabatan Perikanan Sabah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mempergiat usaha nelayan darat yang dilihat berpotensi bagi meningkatkan ekonomi setempat khususnya penduduk di luar bandar.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffery Kitingan berkata, antara inisiatif yang dijalankan ialah mendaftarkan nelayan-nelayan darat Sabah bagi memudahkan Kerajaan merancang dan merangka program-program berkaitan peningkatan ekonomi golongan tersebut.
“Inisiatif seterusnya ialah melaksanakan Sistem Tagal dan menambah jumlah kawasan tagal yang bertujuan untuk mengurus populasi ikan dengan baik dan meningkatkan hasil tangkapan.
“Selain itu, pelaksanaan Tagal eko-pelancongan juga berupaya meningkatkan hasil pendapatan komuniti melalui aktiviti eko-pelancongan,” katanya.
Di samping itu, Dr. Jeffrey yang juga ADUN Tambunan berkata, Jabatan Perikanan Sabah turut menyalurkan inisiatif berbentuk bantuan insentif di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) iaitu Program Kebuniti Madani sub Sektor Akuakultur untuk komuniti penternak akuakultur air tawar.
“Bantuan yang diberikan ialah satu set peralatan sistem ternakan ikan tilapia yang merangkumi tangki High Density Poly Ethylene (HDPE), kanvas, Poly Ethylene (PE), gentian kaca, sistem perpaipan, pam air, benih ikan dan makanan ikan.
“Pada tahun 2023, sebanyak 25 komuniti (1 komuniti merangkumi 2 orang penternak ikan air tawar dari kampung yang sama) telah diberikan bantuan insentif di 13 buah daerah iaitu Kota Belud, Telupid, Keningau, Sook, Tambunan, Ranau, Sipitang, Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Marudu dan Pitas,” katanya.
Beliau menambah, Kementeriannya melalui KO-NELAYAN melaksanakan inisiatif untuk mempergiat usaha nelayan darat dengan melaksanakan Skim Bantuan Nelayan (i-NELAYAN) di bawah Program Peningkatan Pendapatan Nelayan.
Skim ini katanya, merupakan pembiayaan kredit mikro untuk tujuan pembelian bot, enjin sangkut, peralatan penangkapan ikan termasuk peranti GPS dan perkakasan perikanan yang lain.
“Inisiatif lain yang dilaksanakan oleh KO-NELAYAN ialah Skim Bantuan Pengusaha Akuakultur (i-AKUAKULTUR) yang bertujuan untuk membantu nelayan darat yang berkelayakan dan berminat menjadi penternak ikan atau udang air tawar.
“Kumpulan sasar ini turut diberikan kursus upskilling yang komprehensif secara hands on di Pusat Latihan Akuakultur KO-NELAYAN (KATC), Tuaran untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam pembuatan bot gentian kaca, penyelenggaraan enjin sangkut, pembenihan dan penternakan ikan serta udang,” katanya ketika menjawab pertanyaan ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
Jonnybone bertanya apakah inisiatif-inisiatif kementerian untuk mempergiat usaha nelayan darat yang dilihat berpotensi untuk meningkatkan ekonomi setempat khususnya bagi penduduk di luar bandar.
Dr. Jeffery berkata, jumlah nelayan darat seluruh Sabah setakat ini ialah seramai 2,564 orang, di mana seramai 833 orang menerima elaun sara hidup nelayan darat sebanyak RM250 sebulan.
Bagi daerah Telupid katanya, terdapat sebanyak 16 Jawatankuasa Tagal di daerah Telupid, di mana satu Tagal eko pelancongan diwujudkan di Kg. Kopurun, Telupid. Kawasan Tagal di seluruh Sabah setakat ini berjumlah 628.
Sementara itu, Dr. Jeffery yang juga Ahli Parlimen Keningau memaklumkan bahawa Projek Saluran Bandar Tawau – Sungai Kinabutan Kecil, Tawau telah bermula pada 5 Januari 2022 dan dijangka siap pada 4 Julai 2024.
“Pada masa ini, kerja-kerja penstabilan tebing, menaiktaraf struktur saliran dan menaiktaraf jambatan sedia ada sedang dilaksanakan,” jelas beliau.
Beliau menjawab pertanyaan ADUN Balung, Datuk Hamild @ Hamid Awang yang bertanya status terkini projek rancangan mencegah banjir di Sungai Kinabutan Kecil Tawau.
































