Phoong bersama Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.
KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Datuk Phoong Jin Zhe berkata, prestasi penerimaan pelaburan Sabah dilihat amat positif sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM11.346 bilion telah menjadikan Sabah sebagai negeri ketujuh tertinggi yang menerima pelaburan di Malaysia pada tahun 2023.
“Pada tahun 2021 menyaksikan Sabah menjadi antara destinasi pelaburan di negara ini walaupun dihimpit wabak Covid-19 pada ketika itu, di mana Sabah telah mencatatkan jumlah keseluruhan pelaburan berjumlah RM6.045 bilion.
“Manakala bagi tahun 2022, nilai pelaburan keseluruhan yang telah diterima oleh Negeri Sabah dalam pelbagai sektor yang merangkumi sektor utama, perkhidmatan dan pembuatan adalah berjumlah RM11.561 bilion.
“Pada tahun 2023, Sabah telah menerima jumlah keseluruhan pelaburan sebanyak RM11.346 bilion yang merangkumi pelaburan dalam sektor utama, pembuatan dan perkhidmatan,” kata beliau.
Phoong yang juga ADUN Luyang menjawab pertanyaan ADUN Usukan, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Beliau turut menjawab soalan-soalan daripada ADUN Dilantik, Datuk Raime Unggi dan ADUN Pantai Manis, Mohd. Tamin @Tamin Zainal bersekali memandangkan ianya adalah berkaitan.
Dr. Mohd. Salleh bertanya berapa jumlah pelaburan asing baharu yang diterima oleh Negeri Sabah untuk tahun 2022 dan 2023 dan bagaimanakah pengagihan pelaburan tersebut dan jenis sektor terlibat berada di daerah mana, manakala Raime bertanya berapakah jumlah indeks pelaburan asing yang telah dilaburkan dalam negeri Sabah sejak tahun 2021 hingga kini dan Mohd. Tamin meminta penjelasan tentang rekod pelaburan dalam dan luar negara di negeri ini.
Phoong menjelaskan Kerajaan Negeri telah berjaya merancakkan sektor perindustrian dan menggalakkan lagi pelaburan berkembang dalam rantaian ekonomi apabila syarikat SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd. telah mengembangkan pelaburan di Sabah melalui syarikat subsidiarinya iaitu Curix Sdn Bhd bagi kilang pembuatan copper granulation bernilai RM300 juta di KKIP.
Pada masa yang sama katanya, MIDE juga sedang menyelaras cadangan pelaburan Syarikat Kumpulan Kibing yang akan meningkatkan kapasiti penghasilan kaca solar kilangnya di KKIP melalui penambahan third production line dengan anggaran nilai pelaburan tambahan berjumlah RM700 juta sekaligus mewujudkan sebanyak 600 peluang pekerjaan.
“Selain daripada ini, terdapat beberapa lagi cadangan pelaburan yang sedang diselaraskan. Kita juga telah membuat perincian pengagihan jumlah keseluruhan pelaburan asing dan domestic yang diterima oleh Sabah pada tahun 2021 hingga 2023.
“Pada tahun 2021, pelaburan asing mencatatkan jumlah sebanyak RM4.399 bilion, dan pelaburan domestik sebanyak RM1.646 bilion.
“Untuk tahun 2022, pelaburan asing berjumlah RM9.171 bilion dan pelaburan domestik sebanyak RM2.390 bilion.
“Manakala pada tahun 2023 pula, pelaburan asing mencatatkan jumlah sebanyak RM132.7 juta, sementara pelaburan domestik meningkat kepada RM11.213 bilion,” kata ADUN Luyang itu.
Phoong berkata, data berhubung jenis sektor dan daerah bagi pelaburan asing yang telah diluluskan pada tahun 2022 dan 2023 berdasarkan pelaburan juga telah diterbitkan oleh pihak MIDA.
“Pertama, jenis-jenis sektor pelaburan yang telah diluluskan adalah merangkumi sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama.
“Kedua, daerah-daerah pelaburan yang merangkumi pelaburan asing ini adalah terletak di daerah Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sipitang, Kudat dan Keningau dan lain-lain,” katanya.
Phoong menegaskan bahawa usaha Kementeriannya untuk menarik pelaburan tidak terhenti di sini, malah akan terus melipat gandakan usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah.
Ini jelasnya, adalah demi mempercepatkan pertumbuhan sektor perindustrian sekaligus untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.


































